IS arah anak patung pakai niqab, anggap beruang teddy berhala
Anak patung, beruang teddy dan figura aksi kembali ke timur Mosul selepas IS diusir
MOSUL: Kedai permainan kembali ke timur Mosul, membolehkan kanak-kanak Iraq sekali lagi membeli anak patung, beruang teddy atau figura aksi selepas IS diusir dari bandar itu.
Kumpulan militan itu mengharamkan permainan bermuka atau bermata dalam 3 tahun mereka mengawal bandar kedua terbesar Iraq itu, termasuk juga haiwan antropomorfik, yang dianggap sejenis berhala.
Tetapi apabila pasukan keselamatan yang dilatih AS mengusir kumpulan itu dari timur Mosul pada Januari, 2 kedai permainan muncul dan kini ada 15 buah kedai semuanya, kata pemborong Abu Mohammed kepada Reuters.
“Di bawah IS, semua permainan bermuka mesti dipakaikan niqab (kalau perempuan) atau hanya tunjukkan mata. Sekarang tak perlu lagi dan tiada larangan import,” katanya di kedai miliknya, Alaad for Toys.
Abu Mohammed mengimport permainan dari China dan berkata kebanyakan kedai permanan besar terletak di barat Mosul, yang masih menjadi medan pertempuran antara militan IS dan pasukan keselamatan Iraq.
“Kebanyakan kedai permainan besar terletak di barat, jadi sebalik sahaja ia dibebaskan perniagaan akan melambung.”
Bagi Abu Seif, seorang pemilik kedai permainan, perniagaannya kencang.
“Semua yang kanak-kanak mahu ada dijual di sini. Sebelum ini banyak permainan diharamkan seperti yang ada gambar atau bermuka, sekarang kanak-kanak boleh datang pilih apa saja yang mereka suka,” katanya.
Ibu bapa merasakan membeli permaina untuk anak-anak membantu mereka melalui kesan 3 tahun peperangan dan keganasan.
“Kanak-kanak ditindas (di bawah IS), semuanya mereka haramkan. Permainan tak boleh ada muka,” kata Hassan, seorang bapa yang sedang gelintar mencari permainan.
“Orang muda dan tua semua ditindas. Alat permainan sudah kembali, kehidupan sudah kembali, kita bebas.”
Bagi Taha, yang mempunyai seorang anak kecil yang terbeliak melihat anak patung, zirafah, beruang dan kuda, mengharamkan alat permainan baru sebahagian kecil daripada sebenarnya.
“Alat permainan yang ada muka diharamkan atas alasan murtad dan berhala. Dongeng. Mereka bukan orang Islam. Mereka memutarbalikkan Islam,” kata Taha mengenai IS.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kanak-kanak rasa trauma; mereka (IS) merosakkan sekolah, merosakkan alat permainan, mereka (kanak-kanak) hidup sengsara.”