Sarawak harap Putrajaya mansuh dasar wajib guna Pelabuhan Klang
Dasar kabotaj itu menyebabkan barangan yang diimport oleh Sarawak terpaksa dijual dengan harga tinggi.
KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan pusat supaya Dasar Kabotaj yang memerlukan barangan ke negeri ini perlu melalui Pelabuhan Klang dimansuhkan.
Ketua Menteri Datuk Abang Johari Abang Openg berkata beliau bersama Kabinet negeri melihat pemansuhan dasar tersebut sebagai antara cara untuk mengurangkan harga barangan di negeri ini.
Katanya usaha membangunkan infrastruktur asas di Sarawak juga akan lebih mudah memandangkan material yang digunakan ketika ini juga diimport dan dihantar menerusi Pelabuhan Klang.
“Tiap-tiap barang yang kita import perlu melalui Pelabuhan Klang. Dahulu mungkin disebabkan volume tidak ada kerana international trade kurang tetapi sekarang saya rasa sudah banyak international trade antara kita (Sarawak) dan luar negara jadi masanya sudah sampai untuk abolish kabotaj dan kapal dari luar negara boleh datang ke Sarawak.
“Dahulu masa ada kabotaj kita tidak ada Bintulu Port dan pelabuhan kita pun tidak begitu sesuai sekarang kita sudah ada ‘containerization’, maka saya rasa masa sudah sampai untuk abolish dan biarkan import ini datang terus ke pelabuhan Sarawak, ini boleh meringankan harga barang yang datang ke Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam rancangan “Bersama Ketua Menteri Sarawak” yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dari Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching malam tadi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Rancangan bual bicara sempena 100 hari Abang Johari menjadi ketua menteri Sarawak membincangkan antara inisiatif signifikan yang dilaksanakan beliau termasuk pembelian Empangan Bakun daripada kerajaan persekutuan, usaha menubuhkan Development Bank of Sarawak (DBOS) serta penekanan kepada keperluan kemudahan pembangunan infrastruktur dan perhubungan (ICT) yang lebih mantap.