Selepas kaki, pelajar tahfiz mungkin hilang tangan kanan
Ibu saudara pelajar tahfiz itu berkata, tangan kanan Thaqif bertukar warna hitam sehingga paras siku.
Perkara itu dimaklumkan ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, 38, ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.
Dzuraidah berkata, tangan kanan Thaqif sudah bertukar warna hitam sehingga paras siku.
Beliau berkata, mereka sekeluarga berdoa untuk keajaiban berlaku bagi mengelakkan Thaqif kehilangan tangan kanannya.
“Doktor kata sampai pukul 8 malam ini. Kalau masih juga sama, itulah kena potong (sehingga paras siku),” katanya sambil menambah buah pinggang dan darah Thaqif kini dalam keadaan baik.
Katanya, lengan kiri Thaqif kini dalam keadaan baik dan boleh berfungsi selepas doktor memasukkan ubat mencairkan darah.
Beliau bagaimanapun sedih dengan nasib menimpa anak saudaranya itu yang selama ini sihat dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang meluangkan masa untuk melawat Thaqif tengah hari tadi.
Thaqif, 11, didaftar masuk ke sebuah pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi pada 27 Januari lalu.
Dia dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas akibat dipukul pembantu warden.
Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.
Susulan itu, seorang pembantu warden direman 4 hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ibu dakwa pelajar tahfiz dipotong kaki akibat dipukul pembantu warden
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram