Tiada maaf bagimu, Watson beritahu program TV3
Watson nyata masih marah dengan kelakuan pengacara rancangan komedi sukan yang mengejek nama bapanya.
PETALING JAYA: Bekas pelari pecut negara Watson Nyambek berkata beliau masih belum bersedia menerima permohonan maaf, walaupun selepas bertemu dengan wakil syarikat penerbit program yang menghina nama bapanya.
“Saya susah menerima permohonan maaf tersebut kerana mereka menghina dan menyamakan bapa saya dengan seekor haiwan dan saya berasa amat kecewa dan marah,” katanya dipetik Utusan Borneo.
Semalam, beberapa wakil TV3 dan Primework Studios, yang menerbitkan program Sukan Tak Sentral, mengadakan pertemuan dengan Watson di Miri, Sarawak.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, pengacara program Azizul Ammar Abu Hassan, dan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, yang bertindak sebagai orang tengah.
Sabtu lepas, Ammar ketika menyebut nama Watson Nyambek mengejeknya dengan meniru bunyi kambing mengembek.
Ammar yang sudah meminta maaf kini digantung kerja.
Watson berkata mungkin beliau boleh menerima permohonan maaf itu pada masa akan datang.
Bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu membuat laporan polis dan berkata beliau masih mempertimbangkan tindakan undang-undang.
Syarikat penerbit ‘Sukan Tak Sentral’ mohon maaf kepada Watson Nyambek
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram