Polis klasifikasi semula kes Thaqif bawah seksyen bunuh
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan membunuh.
“Polis ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 302 Bunuh,” kata Khalid di Twitter hari ini.
“Polis akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera.”
Thaqif yang terlantar di unit dependensi tinggi Hospital Sultan Ismail sejak Rabu lepas meninggal dunia 2.06 petang tadi. Kakinya gangren selepas didakwa dipukul pembantu warden asrama Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi, dengan paip getah.
Doktor terpaksa memotong kedua kaki Thaqif bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak, namun kanak-kanak ini yang mahu menjadi seorang hufaz koma selepas itu. Dia dijadualkan menjalani pembedahan memotong tangan kanannya hari ini.
Sementara itu, tahanan reman pembantu warden terbabit dilanjutkan 3 hari lagi sehingga Sabtu. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Saya mahu siasatan kes ini dipercepatkan agar kita tahu punca kematian dan diambil tindakan undang-undang jika ada kesalahan,” kata Najib di Facebook hari ini.
“Dr Asyraf Wajdi (timbalan menteri di jabatan perdana menteri) akan mewakili saya di majlis pengebumian arwah.”
Bernama melaporkan proses bedah siasat terhadap jenazah Thaqif sudah dimulakan 6.00 petang tadi dan dijangka mengambil masa antara 2 hingga 5 jam.
Jenazah kanak-kanak itu dijangka tiba di perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi 10.00 malam ini untuk dikebumikan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohamed Saiz Mohamed Subri meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kematian Thaqif kerana ia akan memberi impak negatif kepada siasatan.
“Hentikan spekulasi hingga siasatan selesai bagi tidak menganiaya mana-mana pihak,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Semalam, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata laporan ujian darah dan kesihatan Thaqif bagi mengetahui punca sebenar masalah kesihatannya, akan diperolehi sekurang-kurangnya 1 atau 2 minggu lagi.