Thaqif sempat beri keterangan kepada polis, kata ibu
Felda Wani Ahmad berkata, dia tidak menyalahkan pihak madrasah dalam kes kematian anaknya, jauh sekali ingin menuding jari kepada sesiapa.
Bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, berkata keterangan isterinya Felda Wani Ahmad, 40, itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pagi tadi.
Katanya, ia bagi membantu siasatan kes kematian anaknya yang kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kes bunuh.
Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di rumah bapanya di Felda Bukit Aping Timur, hari ini, Gaddafi berkata, dia dan ahli keluarganya sudah reda dengan pemergian Thaqif, namun masih merinduinya.
“Saya juga ada rasa tidak puas hati kerana ada sesetengah pihak yang menyalahkan saya dan ibunya. Nasib baik masa arwah sakit, dia sempat memberi keterangan kepada polis dan doktor tentang kesakitan yang dialami dan bagaimana dia dipukul. Dia ini budak, dia tidak akan berbohong,” katanya.
Felda Wani berkata, dia tidak menyalahkan pihak madrasah dalam kes kematian anaknya, jauh sekali ingin menuding jari pada sesiapa.
“Benda (siasatan kes) ini sedang berjalan, tetapi laporan yang saya buat itu berdasarkan kepada apa yang dia (Thaqif) cakap.
“Kita pun bukan hendak menuding jari pada sesiapa, cuma hendak cari jalan terbaik…anak saya pun sudah tiada, hendak buat apa? Bukan dia boleh kembali. Semua yang berlaku adalah perancangan Allah dan Allahyarham menjadi pilihanNya,” katanya.
Felda Wani berkata, sebagai ibu yang menyaksikan sendiri kesakitan ditanggung anaknya, dia hanya mampu menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis dan bekerjasama dengan sebaiknya.
“Kita tidak tahu apa sebenarnya terjadi. Mungkin anak saya ada sakit ke apa, kita tidak tahu. Jadi, kami sekeluarga sedang memberi kerjasama untuk siasatan,” katanya.
Thaqif, 11, yang dipotong kedua-dua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dilaporkan dipukul pembantu warden sekolahnya, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail pada petang Rabu.
Tags: Bahasa, FMT, Malaysia, KL, Thaqif, ibu, beri keterangan, dipukul, pembantu warden
Ibu dakwa pelajar tahfiz dipotong kaki akibat dipukul pembantu warden
Thaqif, pelajar tahfiz yang hilang kaki, meninggal dunia
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram