Penduduk Bagan Serai bimbang ancaman buaya
Setakat ini, hanya 1 serangan buaya dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar Daerah Kerian, tapi difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 4 kes.
BAGAN SERAI: Penduduk Kampung Depan Balai dan Nibong Hangus dekat sini, kini bimbang dengan ancaman buaya di Sungai Kurau sejak seminggu lalu.
Ketua Kampung Nibong Hangus, Zainal Abidin Mohamad, 45, berkata, pihaknya menerima laporan terdapat beberapa penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai bertembung dengan buaya ketika turun ke Sungai Kurau.
“Nelayan ini mengadu, ada bot nelayan yang cuba diterbalikkan buaya itu.
“Setakat ini, hanya 1 serangan buaya dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) Daerah Kerian, tapi yang saya difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 4 kes,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, nelayan terbabit bimbang untuk turun ke Sungai Kurau bagi mencari rezeki dan meminta Perhilitan dapat mengambil tindakan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sementara itu, wakil penduduk Kampung Depan Balai, Azizon Mohd Noor, 50, berkata, kehadiran reptilia ganas itu sehingga memasuki kawasan perkampungan menyebabkan penduduk menjadi takut.
“Terbaharu, apabila fenomena air laut pasang besar berlaku baru-baru ini, seorang penduduk terkejut mendapati kelibat seekor buaya sepanjang 6 meter di tepi muara sungai, lebih kurang 50 meter daripada rumahnya,” kata beliau.
Seorang lagi penduduk, Sharifah Saad, 68, berkata, kumpulan buaya yang sering muncul di kawasan kampung dipercayai menyasarkan kera-kera di tepi sungai untuk dijadikan makanan.
“Saya memohon jasa baik pihak berkaitan menyediakan kemudahan lampu jalan di hadapan beberapa rumah penduduk di sini bagi mengelak ia menjadi tempat buaya ‘bersidai’ pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang prihatin dengan kejadian itu, meminta Perhilitan Daerah Kerian mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ancaman buaya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Apabila populasi buaya itu meningkat, persaingan sesama haiwan itu untuk mencari makanan di sungai itu semakin sengit dan kesannya, reptilia berkenaan mula memasuki kawasan kampung untuk mendapatkan makanan,” katanya menambah, penduduk mendakwa terdapat kira-kira 500 ekor buaya di kawasan berkenaan.