2 ditahan kerana disyaki dera 3 amah Indonesia
Tiga pembantu rumah terbabit mendakwa mereka sering dipukul hingga mendatangkan kecederaan, malah gaji yang seharusnya diterima didakwa disimpan majikan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, suspek wanita berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 20-an itu ditahan reman 3 hari bermula kelmarin.
“Kedua suspek akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut, termasuk mengambil keterangan suspek dan juga mangsa.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan 3 pembantu rumah warga Indonesia mengambil tindakan nekad untuk melarikan diri dan meminta bantuan daripada orang ramai kerana tidak tahan didera majikan mereka di Bukit Katil.
Ketiga-tiga pembantu rumah terbabit mendakwa mereka sering dipukul hingga mendatangkan kecederaan, malah gaji yang seharusnya diterima didakwa disimpan majikan terbabit.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram