Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

2 warga Turki di Malaysia dilaporkan ‘hilang’ selepas diculik

 | May 3, 2017

Salah seorang daripada mereka sepatutnya hadir sebagai saksi dalam perbicaraan jenayah di Mahkamah Majistret hari ini, menurut laporan polis.

VIDEO INSIDE

culik-2

PETALING JAYA: Dua warga Turki yang tinggal di Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen, kumpulan yang dituduh dalang rampasan kuasa yang gagal tahun lalu, didakwa dicekup semalam oleh lelaki tidak dikenali, menurut beberapa laman berita yang membongkar pelanggaran hak asasi di bawah kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Laman Turkey Purge melaporkan Turgay Karaman, pengetua Time International School di Ipoh, dan ahli perniagaan Ihsan Aslan, sebahagian daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Turki, dicekup semalam di Kuala Lumpur.

Rakaman CCTV di tempat letak kereta menunjukkan Karaman dibawa beberapa lelaki.

Menurut salinan laporan polis oleh kenalan Karaman, Suheyl Ozcelik, yang dibaca FMT, 2 buah kereta yang digunakan oleh penculik itu ialah sebuah Nissan Almera dan Proton Gen-2.

Ozcelik dalam laporannya turut memberikan nombor pendaftaran kereta tersebut.

Menurutnya, beberapa lelaki mencekup Karaman di tempat letak kereta Wisma E&C di Damansara, pada 4.30 petang semalam. Menurutnya, Karaman berada di situ untuk menghadiri sesi taklimat berhubung peranannya sebagai saksi dalam perbicaraan sebuah kes jenayah di Mahkamah Majistret hari ini.

Isteri Karaman, Ayşe Karaman, dalam rayuannya menerusi video dimuat naik di YouTube, berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membantu mencari suaminya.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia membantu kerana dia seorang yang baik dan tidak pernah mengasari sesiapa,” katanya.

Laporan polis berhubung kehilangan kedua-dua warga Turki itu sudah dibuat oleh kenalan mereka.

Kebimbangan terhadap nasib mereka ialah susulan kejadian sama yang menimpa beberapa warga Turki di Malaysia tahun lalu.

Pada Januari, akhbar The Huffington Post melaporkan pegawai perisikan Turki menculik 3 rakyat Turki di Malaysia pada Oktober tahun lalu kerana didakwa terlibat dalam pergerakan Gulen, kumpulan yang menjadi tumpuan tindakan besar-besaran kerajaan pimpinan Erdogan, yang terselamat daripada cubaan rampas kuasa pada Julai 2016.

Mereka yang diculik itu kemudian dibawa pulang ke Turki.

Kerajaan Turki sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan Malaysia menutup sekolah yang mempunyai hubungan dengan pergerakan Gulen.

Pergerakan Gulen diasaskan Fethullah Gulen, bekas imam dan penulis yang yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.

Insiden penculikan terbaru ini susulan kehilangan beberapa aktivis tempatan, termasuk Pastor Raymond Koh yang dilihat diculik oleh beberapa lelaki bertopeng di Petaling Jaya, Februari lalu.

Malaysia didakwa berpakat dengan Turki cekup ahli akademik


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments