Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Waris mangsa maafkan pembunuh: Langkah baik, tapi perlu kajian

 | May 4, 2017

Melaksanakan konsep diyat mestilah secara telus tanpa tekanan oleh mana-mana pihak, kata peguam dan aktivis hak asasi.

prison-jail-death-sentence

PETALING JAYA: Cadangan Pemangku Raja Pahang supaya mereka yang disabitkan kesalahan bunuh diberi pilihan untuk diampunkan waris mangsa di samping membayar gantirugi boleh dilaksanakan, kata peguam dan badan hak asasi.

Mereka bagaimanapun berkata ia mestilah tertakluk kepada undang-undang, di samping membangkitkan beberapa masalah yang mungkin dihadapi sekiranya waris mangsa diberikan pilihan untuk mengampunkan pembunuh supaya terlepas hukuman mati.

Peguam Faiz Fadzil berkata cadangan yang berdasarkan kaedah “diyat” yang wujud dalam sistem perundangan Islam di sesetengah negara itu masih perlu menepati undang-undang semasa.

“Undang-undang pengampunan itu diberi kuasa kepada Sultan dan atas lembaga penasihat yang diketuai oleh menteri besar dan sebagainya, jadi pindaan undang-undang itu perlu dibuat terdahulu.

“Saya tak kata sokong, pandangan saya dari segi undang-undang begitulah. Ia dari segi undang-undang. Sebarang pelaksanaanya tertakluk kepada undang-undang. Setakat ini tidak ada peruntukan sedemikian,” katanya.

Dua hari lalu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata kaedah diyat, di mana si waris mangsa bunuh diberi pilihan memaafkan pembunuh dan menerima sejumlah gantirugi, dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Pahang.

“Sekurang-kurangnya ia adalah alternatif. Sama-sama kita fikirkan adakah ia baik tetapi daripada sudut syariat, ia adalah dibenarkan,” titah Tengku Abdullah dipetik Bernama baru-baru ini.

Cadangan itu turut menerima sokongan PAS, yang berkata diyat dapat menghapuskan dendam mangsa.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut berharap Majlis Pengampunan negeri-negeri lain melaksanakan kaedah yang sama tanpa mengira agama, kerana ia dapat membuka peluang kepada penjenayah untuk berubah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata diyat boleh menjadi penyelesaian kerana ada waris mangsa yang tidak berpuas hati sekiranya pengampunan oleh pihak kerajaan diberikan kepada pembunuh, tanpa mengira kepentingan keluarga mangsa.

“Ada yang merasakan sekiranya seseorang pesalah diampunkan, tidak ada keadilan manakala undang-undang tidak mengambil kira gantirugi kepada mangsa,” katanya, sambil menambah undang-undang dan prosedur sedia ada mengenai pengampunan perlu dipinda sebelum melaksanakan diyat.

Zainul menjelaskan, diyat hanya terpakai untuk jenayah yang mempunyai mangsa, seperti pembunuhan, dan bukan jenayah lain seperti pengedaran dadah.

Perlu kajian elak diskriminasi

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM), Shamini Darshni turut mengalu-alukan cadangan itu tetapi bimbang sekiranya ia dilaksanakan secara tidak kosisten.

Beliau yang lantang membantah hukuman bunuh di Malaysia berkata pengampunan boleh dilakukan tetapi mestilah tidak ada unsur diskriminasi.

“Misalnya keadaan sosio ekonomi yang lemah oleh keluarga pembunuh menyukarkan untuk hukuman itu dilaksanakan.

“Satu kajian menyeluruh juga perlu dilakukan jika pengampunan itu dibuat,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Faiz berkata sekiranya pengampunan dilakukan, ia perlu bersifat menyeluruh.

Mengulas lanjut, pengampunan oleh waris mangsa pembunuhan mestilah secara telus dan tiada tekanan oleh mana-mana pihak.

“Jangan ada dorongan negatif dan paksaan,” katanya.

“Di bawah sivil, mangsa pembunuhan ini hanya boleh menyaman pembunuh atau orang disabit kesalahan pembunuhan atas kesalahan ganti rugi kehilangan ahli keluarga.

“Tetapi di bawah hukum syarak, diyat perlu dibuat secara holistik. Kerajaan perlu kaji betul-betul.”

PAS sokong cadangan Tengku Abdullah beri waris mangsa pilihan mengampun pembunuh


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments