Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Hantar suami saya ke negara lain, asalkan bukan Turki’

 | May 9, 2017

Isteri seorang warga Turki berkata suaminya bimbang dihantar pulang ke Turki susulan laporan penyeksaan tahanan pasca rampasan kuasa Julai lepas

jangan-hantar-suami-turkiKUALA LUMPUR: Warga turki Turgay Karaman bimbang dihantar pulang ke Turki, kata isterinya Ayse Gul hari ini.

Menurut Ayse, suaminya memberitahu perkara itu dalam pertemuan selama 1 jam di Bukit Aman hari ini, di mana Karaman, bersama Ismet Ozcelik dan Ihsan Aslan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Kalau tangkapan suami saya mempunyai kaitan dengan politik, dan pihak berkuasa Malaysia tidak mahu dia berada di negara ini, mereka boleh hantarnya ke negara lain.

“Asalkan bukan Turki, kerana mereka akan menyeksanya,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Ayse merujuk kepada pembanterasan penyokong ulama Turki dalam buangan, Fetullah Gulen oleh kerajaan Turki.

Gerakan Gulen dituduh Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai dalang kepada cubaan merampas kuasa di negara itu tahun lepas.

“Sekurang-kurangnya 50 orang dalam penjara Turki mati kerana diseksa. Ada yang meninggal dunia kerana dinafikan rawatan perubatan,” dakwa Ayse, tanpa menyatakan sumber maklumat itu.

Peguam Karaman dan Ozcelik, Rosli Dahlan, yang hadir petang tadi, berkata Karaman wajar dihantar ke negara pilihannya.

“Jika Karaman sedang dituduh apa-apa kesalahan undang-undang, maka dia perlu didakwa di mahkamah Malaysia bukannya dihantar pulang ke Turki,” kata Rosli.

Beliau juga mencadangkan tangkapan Karaman, Ozcelik dan Aslan bermotif politik.

“Perkembangan politik di Turki tidak memberi kesan kepada Malaysia. Mereka ini cuma ahli akademi.

“Ozcelik seorang pengetua universiti, Karaman seorang pengetua di sebuah sekolah antarabangsa, dan Aslan seorang ahli perniagaan.

“Karaman berada di sini selama 14 tahun, dan ada banyak gambarnya bersama pemimpin kita.

“Jadi tiada keadaan yang lain yang menghubungkan Malaysia kepada Turki, kecuali pembanterasan yang sedang berlaku di Turki,” kata Rosli.

Ozcelik ditahan sekitar 5.30 petang pada 4 Mei, ketika sedang menaiki kereta bersama anaknya Suheyl dan seorang lelaki yang tidak dikenali.

Karaman pada awalnya disyaki diculik, selepas rakaman litar tertutup menunjukkan 5 lelaki berpakaian biasa menculik beliau di parkir Wisma E&C di Damansara Heights 2 Mei.

Aslan dilaporkan diculik pada hari yang sama, selepas isterinya gagal menghubungi beliau malam itu.

Bagaimanapun, pada 3 Mei, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Twitter berkata Aslan dan Karaman sebenarnya ditahan berhubung aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudian berkata tangkapan dilakukan selepas polis peroleh maklumat daripada Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (CMC).

Beliau menambah dapatan polis berdasarkan komunikasi antara mereka menyebabkan polis mengesyaki mereka memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Ditanya mengenai perkara itu, Rosli berkata Ozcelik mula ditahan pada 13 Disember tahun lepas, selepas didakwa menghalang penguatkuasa imigresen menjalankan tugas. Beliau direman selama 53 hari tetapi tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan pengganas, termasuk IS.

Oleh itu, Rosli yakin polis tidak mempunyai alasan untuk menahan Ozcelik dan Karaman lagi.

“Saya harap semua ini cuma salah faham. Kita akan menulis kepada pihak berkuasa, meminta pembebasan mereka.

“Jika semua gagal, kita akan memfailkan semakan kehakiman mengatakan proses menahan mereka tidak berasas.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments