Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PAS parti paling popular, menurut tinjauan bebas

 | May 10, 2017

Tinjauan juga mendapati BN kedua paling popular dan responden bersetuju hudud dijadikan sebahagian manifesto PAS.

Rais-Hussin

KUALA LUMPUR: Satu tinjauan seluruh negara yang dijalankan oleh kumpulan yang kini sudah menyertai PPBM mendapati PAS parti politik paling popular di negara ini, diikuti Barisan Nasional dan PKR.

Responden juga menyukai PAS mengetengahkan lebih ramai calon ulama dan menjadikan hudud sebahagian daripada manifesto parti itu.

Pada sidang media mengumumkan hasil tinjauan itu, ahli majlis tertinggi PPBM Datuk Rais Hussin berkata tinjauan tidak mengambil kira PPBM kerana ia digerakkan sebelum parti ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lepas.

Tinjauan dipimpin 7 profesor universiti awam, yang tidak didedahkan identiti mereka, dan dijalankan oleh 45 pembanci yang melakukan tinjauan secara bersemuka di kawasan pilihan raya.

Tinjauan mengambil pandangan 3,000 orang di 30 kawasan Parlimen yang dimenangi BN dan pembangkang, termasuk Sabah dan Sarawak. Responden ditanya mengenai pendirian mereka mengenai parti politik.

Ketika ditanya adakah mereka menyokong PAS, 44.4% jawab sokong, sementara 38.9% tidak pasti dan 16.7% tidak.

Ditanya adakah mereka menyokong BN, 36.2% jawab sokong, 36.6% tidak pasti dan 27.7% tidak.

Mengenai PKR pula, 25.9% jawab sokong, 46.9% tidak pasti dan 27.2% tidak.

Responden juga ditanya adakah mereka menyokong DAP. Hanya 18% jawab sokong, 41.4% tidak pasti dan 40.6% tidak.

DAP merupakan parti pembangkang yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Malaysia iaitu 38 kerusi Parlimen dan 96 kerusi DUN.

Mengenai MCA dan MIC pula, responden rata-ratanya terbahagi antara “tidak pasti” dan “tidak”, dengan hanya 14.3% sokong MCA dan 11.4% sokong MIC.

Responden juga ditanya sama ada PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tinjauan mendapati 38.1% menyokong idea itu, 44.3% tidak pasti dan hanya 12.1% bantah.

Mengenai apa yang PAS perlu lakukan, 38.4% bersetuju parti itu perlu ketengahkan lebih ramai calon ulama, 35.2% bersetuju hudud perlu menjadi sebahagian daripada manifesto, dan 29.5% setuju PAS perlu bersendirian.

Hanya 21.1% bersetuju PAS bekerjasama dengan kem Tun Dr Mahathir Mohamad, sementara hanya 14.8% berkata mereka bersetuju PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Menyentuh mengenai kerjasama PAS dengan Dr Mahathir dan pembangkang, lebih ramai responden membantah daripada menyokong, walaupun majoriti tidak pasti.

PAS berikrar untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dan baru-baru ini berkata mereka tidak akan bekerjasama dengan PPBM, menyifatkan parti itu “tidak tentu arah”.

Parti Islam itu juga menepis dakwaan ia akan bekerjasama dengan BN, dan berkata ia akan bergerak melalui blok Gagasan Sejahtera yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Bagaimanapun, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mempunyai pandangan tersendiri kepada tinjauan itu.

“Bermacam jenis tinjauan dikeluarkan sekarang ini. Pertama sekali bolehkah kita tentukan siapa yang bayar untuk tinjauan ini? Sesiapa sahaja boleh menjadikan dirinya digemari,” katanya di Twitter hari ini.

“Saya juga sedang menjalankan tinjauan; untuk mengetahui berapa ramai yang mahu kita menjadi sebuah negara Taliban. Selepas itu Lebih mudah untuk melihat siapa yang akan mendapat markah tertinggi sebagai PM.”


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments