Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pakar ekonomi: Jualan jenis kereta gambarkan ekonomi negara

 | May 13, 2017

Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, jurang kekayaan semakin lebar boleh membawa kepada kebimbangan dan ketegangan antara golongan kaya serta miskin dan seterusnya pergolakan sosial.

Barjoyai-Bardai_kereta_600

PETALING JAYA: Perubahan dalam jualan kereta mampu milik dan mewah di Malaysia baru-baru ini membimbangkan kerana ia menunjukkan jurang kekayaan yang semakin lebar, kata pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai.

“Dengan kenaikan kos sara hidup dan rakyat bersedia menghadapi kemelesetan dijangka berlaku tahun depan, ramai yang menangguhkan keputusan membeli kereta.

“Tetapi, ini tidak terpakai kepada orang kaya. Jadi, dari sana anda boleh melihat perbezaan antara permintaan untuk kereta peringkat permulaan, pertengahan dan mewah.

“Apa yang penting ialah kerajaan perlu mengambil langkah menangani jurang kekayaan ini kerana ketika ia semakin lebar, ia boleh membawa kepada kebimbangan dan ketegangan antara golongan kaya serta miskin. Ini seterusnya boleh membawa kepada pergolakan sosial,” kata pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak itu kepada FMT.

Beliau mengulas laporan FMT pada 11 Mei lalu mengenai peningkatan jualan kereta mewah berbanding jualan lebih rendah untuk kereta mampu milik di negara ini.

Walaupun beribu-ribu pekerja Malaysia dibuang kerja di kala syarikat besar bergelut dengan kegawatan paling teruk sejak 2 tahun lalu, Mercedes-Benz dan BMW melaporkan jualan memberangsangkan tahun lalu.

Ia juga menyaksikan pasaran automotif Malaysia secara keseluruhannya mengalami kemerosotan jualan kira-kira 13% pada 2016.

Barjoyai berkata, ia adalah petanda jurang antara golongan “kaya” dan “tidak kaya” semakin lebar.

“Lihat sahaja golongan Bumiputera sebagai contoh. Menurut laporan The Sun baru-baru ini, data gaji sektor swasta menunjukkan hanya 75,000 Bumiputera di negara ini mempunyai pendapatan lebih RM10,000 sebulan.”

Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan 68.6% atau 21.7 juta daripada 31.7 juta rakyat Malaysia adalah Bumiputera.

Pada masa sama, Barjoyai berkata, kenaikan kos sara hidup meningkatkan kadar kemiskinan relatif untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah (B40) yang berpendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah.

Kemiskinan relatif boleh ditakrifkan sebagai ketidakupayaan mencapai standard minimum sara hidup.

Barjoyai bagaimanapun tidak yakin kebanyakan isi rumah B40 boleh mendapat RM3,900 sebulan kerana statistik data sektor awam menunjukkan purata pendapatan Bumiputera pada 2016 ialah RM2,213 sebulan.

Dengan kenaikan kos sara hidup, Barjoyai menganggarkan kadar kemiskinan relatif ialah kira-kira RM2,350 pendapatan bulan untuk setiap isi rumah.

Beliau berkata, jurang pendapatan melampau boleh memberi kesan negatif kepada isu sosial dan kesihatan.

Katanya, pendapatan B40 perlu ditingkatkan untuk merapatkan jurang itu, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan hanya membuat kerja sampingan, seperti perkhidmatan perkongsian kenderaan.

“Kita perlu melengkapkan isi rumah berpendapatan rendah dengan pengetahuan dan ‘alat’ untuk meningkatkan keupayaan mereka serta mengambil bahagian dalam e-dagang kerana ia adalah masa depan.”

Pada masa sama, katanya, usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan kos sara hidup, khasnya untuk barangan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Jualan laris kereta mahal menjeling kegawatan ekonomi Malaysia


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments