Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pemimpin Pemuda Pakatan janji 1 juta kerja jika menang PRU14

 | May 13, 2017

Syed Saddiq berkata, Pakatan Harapan bercadang mengurangkan jumlah pekerja asing sah daripada 3.3 juta pada tahun lalu kepada 2.5 juta orang.

Syed-Saddiq_Dyana-Sofya_pekerja_new_600

PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan mewujudkan 1 juta pekerjaan dalam tempoh 5 tahun jika gabungan itu berjaya mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pemimpin sayap Pemuda parti komponennya.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penduduk tempatan boleh bekerja dalam pekerjaan yang dilakukan kebanyakan warga asing, jika mereka mendapat tawaran wajar.

Beliau berkata, gabungan itu bercadang mengurangkan jumlah pekerja asing sah daripada 3.3 juta orang yang direkodkan tahun lalu kepada 2.5 juta orang selepas berkuasa dan mereka akan menyediakan lebih banyak kerja kepada penduduk tempatan.

Katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk menangani masalah pengangguran di kalangan rakyat Malaysia.

“Kita mempunyai kira-kira 8 juta pekerja asing tanpa izin di sini. Ia boleh dikatakan jumlah (rakyat Malaysia berbangsa) India kurang daripada pekerja asing,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berkata, lebih banyak pekerjaan boleh ditawarkan kepada belia tempatan, khasnya dalam sektor 3D (kotor, sukar dan bahaya) yang kini kebanyakannya dilakukan warga asing.

“Kami mendapati rakyat Malaysia okey dengan pekerjaan di sektor 3D, jika mereka diberikan layanan dan gaji yang baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP membuktikan belia sanggup bekerja dalam sektor berkaitan 3D, apabila 2,437 daripada 25,000 belia yang memohon kerja tahun lalu, diambil untuk melakukan kerja 3D dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, inisiatif itu menelan belanja kerajaan negeri diterajui DAP sebanyak RM20 juta, tetapi ia berbaloi kerana belia menganggur akhirnya berpeluang bekerja.

“Jika Pulau Pinang boleh melakukannya (mewujudkan lebih banyak pekerjaan), mengapa tidak kerajaan persekutuan?” soalnya.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, kos mewujudkan pekerjaan sama di peringkat persekutuan lebih kecil, jika kerajaan Pakatan Harapan berjaya membendung ketirisan dan amalan rasuah.

Beliau mendakwa ketirisan itu menyebabkan kerajaan sekarang kerugian RM30 juta, tetapi tidak menyebut sumber untuk angka itu.

Kajian dijalankan Jabatan Perangkaan pada 2016 merekodkan negara mempunyai kira-kira 504,100 penganggur tahun lalu, dengan 69.8% daripadanya terdiri daripada belia berusia 20 hingga 39 tahun.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments