Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pasang bom pada kereta, cara terbaru ‘along’ tagih hutang?

 | May 15, 2017

Bahan letupan dipercayai dipasang dengan cara tali diikat di pintu kereta dan meletup sebaik tali ditarik apabila pintu dibuka.

bomb

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 50 tahun parah di kedua-dua belah kaki akibat terkena letupan bom buatan sendiri, yang dipercayai dipasang di keretanya oleh “along” untuk menagih hutang, lapor Harian Metro hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Pengkalan Setia, Taiping 10.00 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Andullah dipetik sebagai berkata polis terima maklumat kejadian yang menimpa kakitangan kilang itu daripada orang awam pada jam 10.10 malam.

Menurut siasatan, letupan berlaku di luar sebuah rumah berhampiran jalan raya, tempat mangsa meletakkan kereta jenis Toyota Corolla miliknya.

Berdasarkan keterangan, mangsa bersiap pulang dari melawat anaknya di Taiping ke Bukit Mertajam dan letupan kuat berlaku sebaik saja mangsa membuka pintu bahagian pemandu.

“Bahan letupan itu dipercayai dipasang dengan cara tali diikat di pintu kereta dan meletup sebaik tali ditarik apabila pintu dibuka,” katanya seperti dipetik akhbar harian itu.

Tiada saksi yang melihat kejadian atau suspek yang memasang bahan letupan itu, kata Harrith.

“Hasil temubual dengan mangsa, dia menjelaskan sebelum ini mempunyai kilang kejuruteraan sendiri yang mengalami masalah. Pada 2013 dia membuat pinjaman dari ‘along’ di Seberang Perai sebanyak RM300,000 dan tidak mampu membayarnya,” katanya.

Mangsa percaya kejadian disebabkan perbuatan “along” yang masih menagih hutang, dan diekori kumpulan itu sehingga ke Taiping.

“Polis sedang mengenalpasti kumpulan ‘along’ yang disyaki melakukan perbuatan ini,” kata Harrith.

Mangsa sedang dirawat di Hospital Taiping dan hanya mengalami luka luaran yang tidak mengancam nyawa. Menurut polis, hasil pemeriksaan x-ray mendapati terdapat serpihan dalam kedua kaki mangsa.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments