Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Rafizi cari publisiti, kata Upko mengenai dakwaan RM1 juta

 | May 16, 2017

Marcus Mojigoh kata naib presiden PKR mencari publisiti murahan untuk pilihan raya umum akan datang.

Marcus-Mojigoh-rafizi2PETALING JAYA: Seorang pemimpin Barisan Nasional Sabah yang dituduh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menerima RM1 juta dari Datuk Seri Najib Razak menafikan tuduhan itu, dan berkata beliau tidak terima “satu sen pun” dari perdana menteri.

Datuk Marcus Mojigoh, naib presiden Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (Upko), berkata sekiranya Najib menyalurkan wang ke partinya, ia “masih sah”.

Beliau berkata bukan luar biasa seorang pengerusi BN membantu parti komponen, terutamanya untuk program yang memanfaatkan orang ramai.

“Takkanlah parti pembangkang tidak terima sumbangan daripada penyokong mereka. Setahu saya, wang yang diterima dari rakan parti digunakan bagi program untuk orang ramai,” kata Marcus ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata agenda ahli Parlimen Pandan hanya untuk memburukkan Najib bagi mencemar nama baik negara.

Marcus mendakwa Rafizi mahu menakut-nakutkan pelabur asing, dengan harapan dapat mengambil kesempatan daripada kemunduran ekonomi untuk menyasarkan perdana menteri.

“Dia (Rafizi) mencari publisiti murahan dan ‘political mileage’ untuk membantunya memenangi pilihan raya akan datang.

“Beritahu Rafizi supaya suarakan keperluan warga Pandan. Dia gagal menjalankan khidmat sebagai ahli Parlimen Pandan, jadi dia perlu bantu rakyat kawasannya.

“Biarlah dia nak cakap apa pun. Orang tak bodoh untuk percayakan dakwaannya, kerana dia diketahui menipu,” kata Marcus, yang juga ahli Parlimen Putatan.

Rafizi melalui siaran langsung di Facebook hari ini mendakwa dana dari bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International, disalurkan ie akaun peribadi Najib.

Beliau mendakwa Najib kemudian memindahkan dana ke beberapa individu dan bahagian Umno antara 2014 dan 2015.

Selain Mojigoh, Rafizi juga menamakan antara lain ibu pejabat Umno, Umno Pulau Pinang, Umno Johor Bahru dan BN Bandar Tun Razak sebagai penerima dana tersebut yang mencecah lebih RM10 juta.

Ketika dihubungi Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata Rafizi boleh membuat apa sahaja tuduhan, tetapi ia perlukan disokong bukti.

Beliau tidak tahu sama ada Umno negeri menerima RM2 juta yang didakwa Rafizi daripada akaun Najib, malah terkejut dengan dakwaan itu.

“Tidak ada yang luar biasa. Itu untuk kerja parti. Sekarang ini semua perlukan duit,” kata Jahara kepada FMT.

“Malah parti lain seperit DAP, ibu pejabat mereka yang beri duit kepada jentera negeri.

“Jentera parti perlukan dana, dan kita tidak persoalkan dari mana datangnya duit itu. Bukan untuk kita persoalkan dari masa sumbernya kerana ia adalah dana politik, untuk kita bekerja.”

Rafizi berkata dakwaanya berdasarkan dokumen yang dimuatnaik di blog SPRMInsider.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments