Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PSM bertanding 20 kerusi, seru Pakatan ‘jangan angkuh’

 | May 17, 2017

Parti itu yang sebelum ini bertanding di bawah tiket PKR kali ini bersedia bertembung dengan parti lain tetapi tidak menolak perbincangan.

VIDEO INSIDE

a-sivarajan-psmKUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bercadang meletakkan 20 calon, kali ini atas namanya sendiri, pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata selain 4 kerusi yang ditandinginya pada PRU ke 13 – Sungai Siput, Kota Damansara, Jelapang dan Semenyih – PSM akan bertanding di kawasan di mana parti itu “sekian lama menjalankan kegiatan dan memiliki sokongan akar umbi”.

“Buat masa ini kita melihat untuk bertanding di kira-kira 20 kawasan (DUN dan Parlimen). Misalnya ramai sudah tahu salah satunya adalah Cameron Highlands.

“Kawasan lain masih dalam perbincangan dengan cawangan dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi. Tapi memang kami akan bertanding di lebih banyak kawasan kali ini,” katanya di pejabat parti itu di Brickfields, hari ini.

Selain Cameron Highlands, parti itu disebut-sebut akan meletakkan calon di Parlimen Subang dan Batu Gajah.

Sivarajan juga tidak menolak kemungkinan PSM akan bertembung dengan Pakatan Harapan.

“Ada 222 kerusi (Parlimen) di negara ini dan semuanya dibahagikan di kalangan mereka, maka pertembungan pasti akan berlaku,” katanya.

PSM kini menyandang kerusi Sungai Siput yang dimenangi Dr Jeyakumar atas tiket PKR. Calon parti itu yang bertanding di bawah lambang PSM bagaimanapun tewas di Semenyih disebabkan pertandingan 3 penjuru melibatkan PKR dan Barisan Nasional.

Sementara di kerusi DUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, pemimpin PSM yang bertanding atas tiket PKR, tewas selepas pertembungan 3 penjuru disebabkan kehadiran calon PAS.

Manakala di kerusi DUN Jelapang, calon PSM, M Sarasvathy tewas kepada calon DAP.

‘Jangan angkuh’

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata pertembungan boleh dielakkan melalui perbincangan, dan partinya sentiasa terbuka mengadakan “kerjasama pilihan raya” walaupun bukan ahli rasmi gabungan itu.

“Pakatan sedar pilihan raya kali ini sukar, mereka sepatutnya berkawan dengan seramai yang boleh. Terutama pihak yang sudah buat kerja dan ada sokongan akar umbi di kawasan.

“Mereka tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri dan angkuh,” kata Dr Jeyakumar.

Beliau memberi contoh Parti Warisan Negara di Sabah, yang menurutnya mempunyai sokongan kuat.

“Maka janganlah ke sana dan menyebabkan pertembungan 3 penjuru yang hanya memenangkan BN,” katanya.

Dr Devaraj berkata adalah sesuatu yang “bagus” sekiranya PAS turut bersetuju mengelak pertandingan 3 penjuru.

“Tetapi mereka antagonistik, kami tidak begitu dan sentiasa bersetuju perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menjatuhkan BN,” tambahnya.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan April lalu, Setiausaha Sekretariat Datuk Saifuddin Abdulah berkata gabungan itu bersedia bekerjasama dengan pembangkang lain pada PRU akan datang.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments