Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Najib: Malaysia, Indonesia akan tindak balas negara boikot kelapa sawit

 | May 18, 2017

Perdana menteri berkata, Malaysia dan Indonesia melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit akan meyakinkan negara terbabit yang dakwaan negatif terhadap minyak sawit tidak berasas sama sekali.

najib-minyak-sawitKUALA SELANGOR: Malaysia dan Indonesia akan bertindak balas terhadap beberapa negara, termasuk Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika Sidang Kemuncak Asean di Manila baru-baru ini, supaya kedua-dua negara melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) meyakinkan negara berkenaan dakwaan negatif terhadap minyak sawit tidak berasas sama sekali.

“Kita mesti beritahu mereka (negara yang memboikot minyak sawit), Malaysia dan Indonesia bukan negara tidak ada kemampuan, kita juga beli banyak produk daripada negara mereka.

“…dan siapa yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan tindakan balas dari Malaysia dan Indonesia,” tegasnya ketika berucap merasmikan Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya hari ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Najib turut menggariskan 5 anjakan transformasi yang perlu dilakukan bagi memastikan masa depan industri sawit lebih cemerlang untuk 100 tahun akan datang, antaranya memperkenalkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO).

“Pada hari ini, industri sawit negara berdepan pelbagai cabaran, tuduhan dan persepsi negatif oleh beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kononnya pembangunan tanaman sawit tidak mampan, mencemarkan alam sekitar dan menyebabkan penebangan hutan berlaku di negara kita.

“Justeru, bagi menangani permasalahan ini, khususnya tuduhan terhadap isu kemampanan, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan MSPO yang akan dilaksana secara mandatori mulai 31 Disember 2019. Ini juga akan menjaga kepentingan industri sawit dan eksport kita ke negara maju,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata, pelaburan juga perlu dilakukan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dalam menyokong pengembangan industri sawit; memberi fokus dan memperkukuh pembangunan modal insan; menyasarkan lebih ramai golongan profesional menceburi bidang sawit dan penyediaan dana untuk Skim Tanam Semula dan Tanam Baharu Sawit.

“Maka, di hadapan lebih 5,000 hadirin petang ini, saya sukacitanya mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM510 juta untuk Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil untuk tempoh 3 tahun akan datang. Bagi 2017, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM130 juta yang dipohon Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi,” katanya.

Pada majlis sama, perdana menteri turut menerima Anugerah Tokoh Pembangunan Industri Sawit Negara bagi pihak bapanya, Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Hussein.

Anugerah itu diberikan kepada Abdul Razak atas jasa serta sumbangan besarnya membangunkan sektor itu, sekaligus mengubah landskap ekonomi serta sosial masyarakat di negara ini.

Penganugerahan terhadap Abdul Razak juga atas keberhasilan beliau menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang merupakan komponen utama dalam usaha mempercepatkan pembangunan dan menghapuskan kemiskinan di luar bandar.

Pada masa sama, Najib turut menyampaikan 4 anugerah, iaitu Anugerah Khas Pekebun Kecil, Anugerah Khas Skim Rancangan Sawit Kerajaan Pertama, Anugerah Ladang Sawit Komersial Pertama dan Anugerah Pengasas Industri Sawit kepada Pengasas Ladang Sawit Pertama di Malaysia, Henri Fauconnier yang diterima cicitnya, Jeremie Fontaine.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Tennamaram dan sebuah dewan.

Tennamaram merupakan ladang komersial tanaman kelapa sawit pertama di Malaysia yang dibuka Fauconnier pada 1917.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments