Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

TPM: Golongan miskin bandar akan dapat bantuan makanan

 | May 18, 2017

Program kerajaan ini menyediakan makanan sejuk beku untuk golongan miskin tegar bandar dan makanan bermasak pada harga berpatutan untuk pelajar IPT di bandar besar

Ahmad-Zahid-Hamidi_nbos_miskin_600

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang melaksanakan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar melibatkan pelbagai kementerian melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan menyediakan makanan sejuk beku untuk golongan miskin tegar bandar.

Ia antara cadangan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi mencari kaedah terbaik menangani isu itu secara bersepadu.

Mesyuarat itu membincangkan beberapa kertas pembentangan dan kertas makluman dari kementerian dan agensi kerajaan mengenai kos sara hidup rakyat khususnya berkaitan isu kemiskinan bandar.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam kenyataan yang diedarkan sempena mesyuarat itu berkata program bantuan makanan itu melibatkan kerjasama dengan syarikat pasar raya besar dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada golongan miskin tegar bandar.

Menurut kementerian itu, program makanan bermasak pada harga berpatutan untuk pelajar pula akan dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta khususnya di bandar besar.

“Pelaksanaan program ini turut melibatkan bekas pelajar sebagai operator dan petugas,” kata kementerian itu.

Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak peluang manipulasi harga oleh pihak ke-3.

Kerajaan juga akan melaksanakan kajian pengumpulan maklumat keperluan bekalan rumah melalui data bilangan pemilikan dan penyewaan rumah bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti keperluan rumah dan trend harga rumah berdasarkan lokasi tertentu, kata kementerian itu.

“Kerajaan bercadang memberi insentif kepada pemaju yang membina rumah mampu milik, selain menggalakkan penggunaan material menggunakan teknologi terkini bagi mengurangkan kos pembinaan seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang lebih menjimatkan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan kementerian itu menyebut kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyalurkan bantuan kepada Tabung Bantuan Khas Persekutuan yang akan digunakan bagi membantu program kebajikan rakyat.

Antara menteri yang terlibat dalam mesyuarat hari ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments