Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

China, ekonomi, Islam… dan tips jantung, Dr M jawab semua

 | May 19, 2017

Sesi Facebook kira-kira 30 minit hari ini menyaksikan bekas perdana menteri menjawab pelbagai soalan termasuk mengenai petua mengekalkan kesihatannya.

MahathirPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kecenderungan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekarang kepada pelaburan China adalah dengan niat untuk mendapatkan wang negara itu.

“Dia (Najib) nak duit China. Dia beri kontrak besar kepada China. Bila dia tidak ada duit nak bayar hutang, dia akan serahkan wilayah negara kepada China,” kata bekas perdana menteri itu dalam serangan terbarunya terhadap dasar ekonomi Najib yang memberikan tumpuan kepada pelaburan dan penglibatan syarikat China.

Menjawab soalan pengguna Facebook dalam sesi ‘live’ pagi tadi, Dr Mahathir berkata negara banyak berhutang dan atas kesedaran ini, kerajaan perlu mendapatkan dana asing dengan cara menyerahkan kontrak projek besar seperti keretapi dan pelabuhan.

Menurutnya, pembayaran balik hutang institusi tempatan masih boleh ditunda tetapi hal sama tidak terpakai melibatkan hutang luar.

“Hutang bank dan institusi antarabangsa perlu dibayar, jika tidak Malaysia jadi muflis,” kata Dr Mahathir.

Sesi soal jawab menampilkan pengerusi PPBM itu, “Hangpa tanya, #Chedet”, menarik lebih 4,000 penonton di Facebook.

Tips kekal sihat

Sepanjang sesi 30 minit itu, Dr Mahathir menjawab pelbagai soalan, daripada menyentuh pandangannya tentang Islam, hubungan antara kaum, sehinggalah kepada cara beliau mengekalkan kesihatannya pada usia hampir 92 tahun.

“Saya tidak hisap rokok, tidak minum arak. Bila makan, saya tidak makan terlalu banyak,” katanya.

Dr Mahathir yang merupakan doktor perubatan sebelum menceburi politik turut memberikan petua untuk mengekalkan kesihatan.

Ini termasuk mengelak daripada makan terlalu banyak.

“Dalam kehidupan, segala-galanya mestilah sederhana. Tidak kertelaluan.

“Saya makan sederhana walau macam mana sedap sekalipun,” katanya.

Menurutnya, semakin banyak seseorang itu makan, perutnya akan berkembang dan ia membebankan jantung yang sudah mula berdenyut sejak sebelum lahir lagi.

“Saya umur 91, selama itulah jantung saya pam, tak berhenti. Kalau berhenti, saya mati. Itu sebabnya kita perlu fikir beban yang ditanggung jantung kita. Kalau terlalu gemuk, jantung terpaksa lebih kuat, lama-lama ia ‘give up’,” katanya.

PAS dan Islam

Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan selama 22 tahun dari 1981 ke 2003, turut ditanya mengapa beliau tidak melaksanakan pemerintahan Islam sepenuhnya.

“Polisi rasmi kita ialah menerapkan nilai-nilai Islam, sebab bukan semua penduduk negara ini Islam,” katanya, sambil berkata nilai Islam merupakan nilai universal.

Dr Mahathir berkata sebarang pendekatan mengenai Islam perlu mengambil kira masyarakat pelbagai agama.

“Kita perlu cari formula yang tidak mencetuskan huru hara dalam negara berbilang agama.”

Seorang penyokong PAS turut bertanyakan Dr Mahathir mengapa PPBM membelakangi PAS dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau menjawab ia tidak benar kerana PPBM sudah berkali-kali berusaha untuk bekerjasama dengan PAS.

“Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS. Tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan Umno,” katanya.

Beliau turut menyelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan keengganannya bekerjasama dengan DAP dan PKR sedangkan sebelum ini ia menyebut tentang “tahaluf siyasi” atau kerjasama politik.

“Dulu saya tengok Hadi peluk (Lim) Kit Siang,” sindirnya.

Menurutnya, istilah tahaluf siyasi hanya bertujuan mengaburi mata penyokong PAS.

“Ia hanya bahasa Arab, kalau dalam Melayu, tak bunyi Islam sangat. Janganlah tipu orang dengan mengatakan ia suruhan agama.”

Ekonomi di bawah PH

Sementara itu, Dr Mahathir berkata PH akan memastikan pengangguran dikurangkan dengan cara memberi keyakinan kepada pelabur asing mendirikan perniagaan mereka di Malaysia.

“Dasar Najib ialah untuk menambah pendapatan. Tapi itu sahaja tidak menyelesaikan masalah, sebab apabila pendapatan bertambah, kos pun meningkat.

“Cara mengatasi pengangguran ialah mengadakan keadaan aman dan selamat, menarik pelabur tempatan dan asing supaya mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan baharu itu juga tidak akan mengulangi masalah seperti yang dihadapi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pembangkang kenal siapa yang bersalah dalam skandal 1MDB.

“Kita akan kejar orang-orang ini sehingga ke lubang cacing.”

 

Dr Mahathir: Insiden tampar depan Najib memalukan


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments