Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Jangkitan kencing tikus, Air Terjun Gunung Pulai 1 ditutup

 | May 19, 2017

Air terjun itu ditutup 2 minggu mulai hari ini hingga 1 Jun susulan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus malam tadi.

Ayub-Rahmat-gunung-pulaiJOHOR BAHRU: Air Terjun Gunung Pulai 1 di Kulai akan ditutup selama 2 minggu mulai hari ini hingga 1 Jun susulan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata penutupan itu disebabkan persekitaran yang kotor dan membolehkan penyiasatan lanjut dilakukan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengarahkan supaya air terjun berkenaan ditutup selama 2 minggu mulai 5 petang ini. Sampel air terjun itu sudah diambil, namun keputusan sampel air itu belum diperoleh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayub berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya mewartakan Gunung Pulai 1 sebagai Taman Negara Johor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekali gus menangani masalah persekitaran yang kotor.

Beliau sehubungan itu menasihati pengunjung air terjun atau pusat rekreasi lain sekitar bulan lepas dan bulan ini mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan atau hospital terutama yang mengalami sakit perut, selesema, demam dan lemah anggota badan.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berumur 18 tahun yang meninggal di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Mangsa dari Pekan Nenas, Pontian disahkan meninggal selepas 3 hari berada di Unit Rawatan Rapi HSA.

Beliau dikatakan mengunjungi air terjun itu bulan lepas dan pada awalnya mengalami sakit perut, selesema, demam selama 3 hari serta lemah anggota badan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti pergerakan lelaki itu sebelum dia dimasukkan ke hospital.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments