Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Warga Turki ada status pelarian, mengapa hantar pulang, soal peguam

 | May 19, 2017

Ismet Ozcelik, salah seorang daripada 3 warga Turki dihantar pulang, diiktiraf sebagai pelarian dan harus dibenarkan berpindah ke negara ketiga.

Ismet-OzcelikKUALA LUMPUR: Peguam Ismet Ozcelik akan mencabar keputusan kerajaan Malaysia menghantar pulang warga Turki, dengan berkata anak guamnya memiliki status pelarian membolehkan dia memilih negara lain sekiranya kerajaan Malaysia tidak membenarkannya tinggal di sini.

Peguam Ismet, Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani, berkata hak tersebut diberikan di bawah Perkara 3 Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia Afrika (AALCO) mengenai status hak pelarian.

Beliau berkata Malaysia dan Turki merupakan antara 47 negara anggota AALCO dan mereka perlu mematuhi peruntukan di bawah prinsip yang dipersetujui.

Faizal berkata pihaknya akan memfailkan permohonan pada 1 Jun ini.

“Anda (kerajaan Malaysia) tidak boleh mengusir Ismet. Dia seorang pelarian yang mempunyai kad UNCHR yang sah,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

“Anda perlu memberinya peluang untuk mengatakan yang dia tidak mahu kembali ke Turki, dan hendak pergi ke tempat lain. Jadi kita menganggap perkara ini adalah menyalahi undang-undang.”

Ismet, 58 dan 2 orang lagi, Turgay Karaman, 43 dan Ihsan Aslan, 39 dituduh pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, tuduhan yang lazim dilemparkan ke atas puluhan ribu orang yang ditahan setakat ini kerana bersimpati dengan pergerakan pemimpin dalam buangan Fethullah Gulen.

Mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, pada 2 dan 4 Mei 2017 di lokasi berasingan.

Pada 11 Mei, Malaysia menghantar mereka pulang walaupun selepas rayuan ahli keluarga yang bimbang ancaman terhadap mereka oleh pihak berkuasa Turki.

Faizal berkata kes Ismet belum digugurkan ketika beliau dihantar pulang.

“Timbalan pendakwa raya enggan menggugurkan pertuduhan terhadap Ismet. Tetapi dia sudah dihantar pulang (ke Turki). Kita memberitahu mahkamah yang tidak ada cara untuk Ismet datang ke sini untuk menghadapi pertuduhan.

“Sebab itu kami minta Ismet untuk dibebaskan. Kes ini tidak boleh berlanjutan kerana dia tidak akan mempunyai peluang untuk membela diri.”

Faizal berkata Timbalan Pendakwa Raya, K Vasugi, mendakwa di mahkamah yang dia tidak dapat mengesahkan jika Ismet sebenarnya dihantar pulang walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah mengesahkan perkara itu.

“Majistret tidak berkata apa-apa, tetapi 1 Jun ditetapkan tarikh seterusnya untuk kes ini.”

Ismet pertama kali ditahan pada 13 Disember tahun lepas, selepas dia didakwa menghalang beberapa pegawai imigresen berpakaian biasa daripada mengambil pasportnya di rumah anaknya Suheyl.

Suheyl dan 3 rakannya dari sebuah sekolah antarabangsa cuba campur tangan untuk membantu Ismet tetapi apabila polis tiba, mereka dikatakan menghalang pihak polis menjalankan tugas mereka.

Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Empat daripada mereka dibebaskan dengan ikat jamin kecuali Ismet, yang ditahan di Penjara Sungai Buloh selama 50 hari.

Ismet akhirnya dibebaskan pada 31 Januari, selepas Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memeberikan status pelarian sehingga perbicaraannya diketepikan.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments