Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Azmin: Nasib 3 exco PAS ditentukan selepas bincang dengan Wan Azizah

 | May 20, 2017

Azmin Ali berkata, tiada krisis di Selangor dan nasib 3 exco PAS itu bukan isu memandangkan mereka mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum lalu.

azmin-azizahPETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nasib 3 exco PAS di Selangor akan ditentukan selepas beliau berbincang dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri besar Selangor itu mengulangi kenyataannya sebelum ini, tiada krisis di negeri itu dan nasib 3 exco PAS itu bukan isu memandangkan mereka mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Ia bukan isu, kita mendapat mandat daripada rakyat dan mandat itu akan kita kembalikan. Tidak ada krisis di Selangor, kita mahu fokus kepada pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Pemuda PKR ke-12 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara memutuskan hubungan dengan PKR, atas alasan pelanggaran syarat oleh PKR serta bantahannya terhadap agenda Islam yang dibawakan PAS.

Susulan itu, 3 exco PAS berdepan desakan pelbagai pihak untuk melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor yang turut disertai PKR dan DAP.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib akan kekal berkhidmat dalam kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan seperti dinyatakan Azmin.

Selasa lalu, Dr Wan Azizah berkata, kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor akan diputuskan bersama Azmin sekembalinya dari lawatan rasmi ke luar negara.

Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dilaporkan berkata, masih ada ruang untuk membincangkan kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor, walaupun parti Islam itu sudah menamatkan hubungan kerjasama dengan PKR.

“Saya harap kita masih boleh membincangkannya. Kita perlu tunggu Azmin pulang,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Azmin yang baru pulang dari Brussels, Belgium berkata, beliau sudah menerima mesej ketua umum PKR itu dan akan memberi perhatian serius terhadap perkara itu.

“Bagi pihak Keadilan, sudah menjadi ketetapan kita untuk terus berbincang dan sesudah saya sampai ke KLIA, saya dapat mesej Anwar yang mahu saya terus membuka pintu kepada PAS,” kata timbalan presiden PKR itu.

Anwar: Masih ada ruang bincang hubungan PAS-PKR

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments