Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Gantung 10 pelajar MRSM dilanjut hingga keputusan jawatankuasa disiplin

 | May 20, 2017

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Mohamed Roseli Dol berkata, sekembalinya pelajar-pelajar terbabit ke maktab, mereka akan diberi ruang untuk membela diri di hadapan Jawatankuasa Rayuan Maktab.

roseli-dol-buliPETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan sekolah 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak kerana membuli 6 junior awal bulan ini, sehingga Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah agensi itu membuat keputusan muktamad.

Sebelum ini, mereka diputuskan akan digantung persekolahan sehingga Isnin ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Mohamed Roseli Dol berkata, sekembalinya pelajar-pelajar terbabit ke maktab, mereka akan diberi ruang untuk membela diri di hadapan Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM).

“Keputusan JRM ini akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah ibu pejabat Mara untuk diputuskan bentuk hukuman yang akan dikenakan kepada pelajar-pelajar terlibat,” kata Mohamed Roseli menerusi kenyataan media hari ini.

“Tempoh penggantungan pelajar-pelajar terbabit akan dilanjutkan sehingga keputusan muktamad dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.”

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya tidak akan berkompromi jika terdapat pelajar maktab yang terlibat dengan gejala membuli.

“Polis Diraja Malaysia masih menjalankan siasatan ke atas kes ini. Pihak maktab sedia memberi kerjasama penuh kepada polis dalam menyelesaikan kes ini.”

Laporan media sebelum menyebut seramai 10 pelajar MRSM Parit, Perak digantung kerana membuli 6 junior awal bulan ini.

Pada 7 Mei lalu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) memutuskan semua pelajar terbabit digantung sekolah seminggu bermula tarikh itu hingga 15 Mei lalu.

Kata Mohamed Roseli, JDM yang bersidang sekali lagi pada 15 Mei lalu telah melanjutkan tempoh penggantungan selama seminggu sehingga Isnin ini.

Katanya, Mara mengambil perhatian serius berhubung kebajikan dan keselamatan pelajar di semua Institusi Pendidikan Mara (IPMa) di bawah kendalian agensi itu.

Beliau berkata, sejurus kejadian dilaporkan, pihak pengurusan MRSM Parit, warden asrama dan guru bertugas bergegas ke tempat kejadian untuk memantau dan menjalankan siasatan.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, 6 pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola.

Kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun dan pihaknya menerima 6 laporan polis berhubung kes buli itu pada 6 Mei lalu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments