Di satu sudut kota yang dibinanya, Dr Mahathir terus gigih melawan
Dari kamar pejabatnya, ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ meneruskan perjuangannya sambil mempertahankan legasinya yang kian terancam.
Bukankah beliau menyingkirkan 2 timbalannya – Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan menjadi tokoh utama dalam desakan agar Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan.
Jadi mengapa pula Najib harus mendapat pengecualian?
Namun selepas beberapa lama, ramai yang melihat perbezaannya – rasa tidak puas hatinya terhadap Najib melangkaui penggantinya sebelum ini.
Pertembungannya dengan Najib tidak semudah dengan yang sebelumnya. Tidak seperti Pak Lah, Najib melawan kembali dengan segala kelebihan yang ada padanya selaku perdana menteri.
Untuk melawan kembali, Dr Mahathir bukan setakat keluar Umno malah mengasaskan PPBM, serta berdamai dengan mereka yang dahulunya menjadi musuh ketat dengan menyertai Pakatan Harapan.
“Saya nak negara kita ditadbir orang berkebolehan, dan bukan penipu dan pencuri,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.
Boleh dikatakan Dr Mahathir kini “terperosok” di pejabatnya itu, di satu sudut terpencil di Putrajaya – kota yang dibinanya sendiri. Di situlah beliau merancang strategi untuk menyingkirkan Najib daripada Seri Perdana – dahulu dikenali sebagai “mahligai Mahathir”.
Pada masa sama, satu demi satu legasi yang dibinanya sepanjang 22 tahun mentadbir negara cuba dihapuskan.
Kini tiada lagi perlumbaan Formula One di Litar Antarabangsa Sepang dan Wawasan 2020 – yang sekian lama menghuni imaginasi mereka yang membesar pada era 1990-an – digantikan dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Beliau disingkirkan daripada pejabatnya di Menara Kembar KLCC – sebuah lagi legasinya – apabila dipecat daripada jawatan sebagai penasihat Petronas, dan tidak lama selepas itu meletakkan jawatan sebagai penasihat Proton.
Antara Pak Lah dan Najib
Dr Mahathir sebelum ini pernah meminta maaf dan mengaku “tersilap” memilih pengganti dalam meneruskan pentadbiran negara, merujuk kepada Pak Lah dan juga Najib.
Antara yang menjadi punca pertelagahan dan simbol pertembungan adalah keengganan Pak Lah meneruskan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura. Najib juga enggan meneruskan projek itu.
Ia tidak sekadar itu.
“Sebelum mereka jadi perdana menteri, nampak cukup cantik. Tetapi bila jadi perdana menteri, lain rupanya,” kata Dr Mahathir.
“Kita tidak tahu Abdullah macam itu. Kita juga ingat Najib ini anak Tun Razak, tentulah lebih baik daripada Abdullah,” katanya.
Dalam wawancara selama sejam itu, Dr Mahathir mengakui Pak Lah lebih baik berbanding Najib walaupun tidak menepati jangkaannya.
“Najib buat benda yang lebih dahsyat berbanding Pak Lah. Saya pada mulanya cuba menyokongnya… Tak mahu buat jambatan (bengkok) itu, tak apalah, perkara kecil.
“Tetapi bila hutang berbilion dan curi duit itu… dan dia tidak boleh memberikan hujah yang berwibawa,” katanya merujuk isu RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.
Walaupun kerajaan mengatakan wang itu sumbangan Arab Saudi, Dr Mahathir bertegas wang itu adalah milik kerajaan yang disalurkan melalui sebuah syarikat berkaitan 1MDB.
‘Dasar pandang ke China’
Selain 1MDB, Dr Mahathir turut mensasarkan kritikan terhadap pelaburan China, menganggap pentadbiran Najib “menjual Malaysia”.
Kritikan itu dibalas kerajaan dengan mengingatkan Dr Mahathir kembali tentang “Dasar Pandang ke Timur’ iaitu kemasukan pelaburan Jepun pada era 1980-an dan 1990-an.
Ketika itu, Malaysia merupakan antara penerima bantuan terbesar Jepun menerusi program Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) negara itu.
Tetapi Dr Mahathir berkata terdapat perbezaan besar antara “menerima pelaburan Jepun” dan “menjual negara kepada China”.
“Ketika itu pelabur asing membawa masuk modal dan teknologi, memulakan industri di negara kita dan mencipta peluang pekerjaan kepada orang tempatan. Itulah maksud pelaburan langsung asing (FDI).
“Tapi bagi Najib, FDI itu apabila orang luar membeli tanah di sini, membina bandar baru untuk warga mereka tinggal di sini. Itu bukan FDI, tetapi sebenarnya menjual sebahagian daripada negara.
“Ini pernah berlaku sebelum ini, apabila kita menjual Singapura kepada British. Sekarang ia sebuah negara berbeza dan bukan milik kita lagi… Semua negara tidak mahu ia terjadi (kepada mereka),” katanya.
Dr Mahathir kini menjadi pemimpin yang paling giat melawan Umno dan BN.
Bagi yang masih sinis dengan Dr Mahathir yang kini menjadi pembangkang, antara “analisis” mereka adalah beliau mahu mengekalkan legasi yang dibinanya selama ini, menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, atau dengan nada sedikit positif, menebus “dosanya” selama 22 tahun memerintah.
Namun melihat kesungguhannya siang dan malam mengheret tubuh tuanya berkempen untuk pembangkang, ia bukan sekadar itu.
Ketika menamatkan wawancara bersama FMT, Dr Mahathir diingatkan tentang program ceramah di Selayang pada malam itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Semalam tidur jam 2 pagi,” katanya, letih tetapi bersemangat.