PKR angkat Anwar bukan perkara baharu, kata Azmin
Namun, Azmin mengulangi gesaan pelbagai pihak agar parti dalam Pakatan Harapan kembali fokus kepada matlamat menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14.
PETALING JAYA: Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membolehkannya menjadi perdana menteri adalah perjuangan PKR sejak dahulu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Anwar adalah simbol kezaliman, pembebasan Anwar adalah pembebasan rakyat. Ia telah menjadi pendirian kita dari dulu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PKR selepas mesyuarat Biro Politik parti itu malam ini.
Beliau diminta mengulas kritikan sesetengah pihak, termasuk rakan komponen dalam Pakatan Harapan, iaitu PPBM yang melihat PKR terlalu fokus kepada isu menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi “perdana menteri sementara” sebelum beliau dibebaskan.
Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan perkara itu tidak bertanggungjawab dan “mempermainkan” jawatan nombor 1 negara.
“Bagaimana jika Anwar kalah pilihan raya (atau) tidak boleh menjadi PM atas sebab kesihatan? Ia keputusan kolektif gabungan. Anda tidak boleh meremehkan hal ini,” katanya dipetik FMT hari ini.
Pada Kongres PKR Ahad lalu, parti itu membuat gimik dengan mengangkat sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”. Sepanduk itu diangkat semua pemimpin yang hadir, termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kecuali Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata, beliau menghormati PKR selaku tuan rumah, tetapi mereka tidak boleh “dipaksa mengikuti kehendak PKR”.
Beliau berkata, Pakatan Harapan juga perlu menghormati undang-undang jika tetap bertegas mengangkat Anwar sebagai perdana menteri, di saat beliau masih menjalani hukuman penjara.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengeluarkan kenyataan keras dengan berkata, PKR cuba “memaksa ketaksuban” mereka terhadap Anwar dan memalukan 2 pemimpin PPBM itu.
Beliau turut mencadangkan tinjauan dibuat badan bebas untuk melihat siapakah yang menjadi pilihan rakyat sebagai calon perdana menteri.
Menjawab cadangan itu, Azmin berkata, Pakatan Harapan perlu kembali fokus kepada soal mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Itu pandangan dia…Kita semua nak menang pilihan raya, maka semua parti perlu fokus kepada strategi untuk memenanginya. Selepas menang kita boleh bincang,” katanya.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan yang juga ahli PKR, Datuk Saifuddin Abdullah pula enggan mengulas cadangan itu.
Kalau kalah PRU14, tiada siapa boleh jadi PM, kata Dr Mahathir
Perwakilan PKR, pemimpin Pakatan mahu Anwar PM ke-7
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram