Mahdzir: 10 pembuli MRSM boleh rayu masuk sekolah biasa
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rayuan berkenaan boleh dibuat di Jabatan Pelajaran di mana-mana negeri dengan syarat tertentu.
JELEBU: Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang ditamatkan pengajian mereka berkuat kuasa semalam kerana kesalahan membuli, boleh membuat rayuan untuk memasuki sekolah harian biasa.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rayuan berkenaan boleh dibuat di Jabatan Pelajaran di mana-mana negeri.
“Bagaimanapun untuk mereka ini, ada syarat-syarat tertentu kerana kita telah tahu apa masalah yang mereka ini terlibat,” katanya kepada pemberita malam ini.
Pada 18 Mei lepas, media melaporkan 6 pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul 10 senior mereka kerana enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.
Kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 tahun dan 16 tahun.
Terdahulu, Mahdzir merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Parlimen Jelebu yang dihadiri kira-kira 300 warga pendidik.
Turut hadir, Adun Pertang yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pelajaran Negeri, Rusni Ab Jalil.
10 pembuli MRSM ditamatkan pengajian
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram