Pasukan petugas khas mahu inkues kematian dalam tahanan
P Ramasamy yang mengetuai pasukan petugas itu menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis, susulan kematian demi kematian dalam tahanan.
GEORGE TOWN: Sebuah pasukan petugas Pulau Pinang ke atas kematian dalam tahanan meminta inkues diadakan bagi menyiasat kematian seorang tahanan disyaki penagih dadah di Balai Polis Bukit Mertajam.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang mengetuai pasukan petugas itu berkata, kematian terbaru dalam tahanan polis itu melibatkan pemandu lori berusia 39 tahun, Mohd Izham Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 27 April lalu.
Katanya, Izham yang ditahan pada 25 April lalu, dihantar ke unit rawatan rapi Hospital Bukit Mertajam. Beliau bagaimanapun meninggal dunia keesokannya akibat nafas sesak.
“Nampaknya seolah-olah tiada pengurangan kes kematian dalam tahanan polis. Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang mati dalam tahanan di negara ini ialah 5 orang (tahun ini),” Ramasamy memberitahu pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis susulan kematian demi kematian dalam tahanan yang berlaku.
“Ada budaya anggota polis menghukum suspek sewenang-wenangnya dalam kes sebegini,” katanya.
Turut hadir ialah ahli pasukan petugas khas itu, iaitu Jagdeep Singh Deo dan RSN Rayer.
Isteri Izham, Siti Hawa Mispon Bandi, 29, terkejut dengan kematian suaminya akibat sesak nafas memadangkan beliau sihat selama ini.
Hawa yang bekerja di restoran pizza berkata, beliau kini perlu menjaga 4 anak berusia 5 hingga 10 tahun sendiri.
“Saya hanya nak tahu bagaimana suami saya boleh mati dalam tahanan polis. Dia sihat dan saya tidak faham bagaimana dia boleh mati dalam sekelip mata. Saya tidak tahu dia mengambil sebarang dadah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kematian Izham diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Nik Ros ketika dihubungi berkata, beliau juga berminat menjalankan siasatan lanjut ke atas kematian Izham.
Dalam sidang Parlimen baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, 280 kematian dalam tahanan direkodkan dari 2000 hingga 2016.
Laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan kematian dalam tahanan meningkat daripada 252 kes pada 2015 kepada 269 kes tahun lalu.
Suhakam berkata, 35 kematian dicatatkan di pusat imigresen tahun lepas berbanding 82 kes pada 2015.
Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada 2014, diikuti 12 kes (2015), 3 (2016) dan 4 (2017), tidak termasuk Izham.
Suhakam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan berkata, mereka akan menyiasat kes kematian dalam tahanan yang berlaku baru-baru ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kementerian Dalam Negeri juga memberi jaminan polis persekutuan akan menyiasat perkara itu.