SPRM tepis dakwaan tahan perasuah takutkan pelabur
Dzulkifli Ahmad berkata, langkah SPRM itu sepatutnya memberi lebih keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu terlibat dengan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur di negara ini.
Ketua Persuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, dakwaan pihaknya mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah menakutkan pelabur adalah tidak benar.
“Tidak ada isu menakut-nakutkan. Sepatutnya ia memberi lebih keyakinan kepada pelabur untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya mengenai langkah SPRM semakin kerap mengambil tindakan terhadap pesalah rasuah dan salah guna kuasa sehingga dikatakan mengundang ketakutan kepada pihak luar melabur di negara ini.
Beliau berkata demikian selepas turun padang melakukan tinjauan mesra kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan 3J, iaitu “Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle” hari ini.
Dzulkifli percaya tindakan proaktif yang dilakukan SPRM dalam mencegah dan memerangi rasuah dapat menambah baik kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.
Sementara itu, Dzulkifli menafikan dakwaan SPRM tidak adil dan pilih kasih kerana tidak mengambil tindakan terhadap ahli politik.
“Itu bukan pilih kasih…cuma ambil masa sedikit. Jika kita tidak ambil tindakan terus, itu pilih kasih. Saya rasa sebagai KP (ketua pesuruhjaya), saya lebih mengetahui bila masa sesuai untuk bertindak.”
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan keengganan SPRM mengambil tindakan terhadap ahli politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kerana ia mungkin digunakan sebagai bahan kempen.
Dalam perkembangan lain, Dzulkifli ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan melibatkan anggota polis di negeri lain selain Melaka, beliau enggan mengulas lanjut.
“Kita tunggu dan lihat,” katanya ringkas.
Sehingga hari ini, 13 individu termasuk anggota dan pegawai polis di Melaka ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di beberapa lokasi di Melaka.
PAS, Amanah persoal SPRM enggan tahan ahli politik sekarang
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram