1MDB: Singapura denda bekas pedagang saham kerana rasuah
Kelvin Ang bertindak sebagai orang tengah antara perunding kewangan NRA Capital dan Yeo Jiawei – pegawai bank Singapura dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan berhubung kes itu Disember lalu.
SINGAPURA: Seorang bekas pedagang saham didenda di Singapura pada Rabu atas peranannya dalam skandal pengubahan wang haram antarabangsa membabitkan 1MDB.
Singapura yang merupakan pusat kewangan serantau terkenal dengan pendirian tegas terhadap rasuah, adalah negara pertama yang menjatuhkan sabitan jenayah berkaitan siasatan 1MDB.
Dakwaan sejumlah besar wang disalah guna daripada dana kerajaan Malaysia itu mencetuskan skandal mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menafikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku.
Kelvin Ang Wee Keng didenda S$9,000 (AS$6,477) kerana merasuh seorang penganalisis penyelidikan untuk mempercepatkan laporan penilaian PetroSaudi – sebuah syarikat minyak yang mempunyai urus niaga dengan sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu.
Firma yang berpangkalan di Riyadh itu memeterai usaha sama bernilai AS$1 bilion dengan 1MDB pada 2009.
Dokumen mahkamah menunjukkan Ang bertindak sebagai orang tengah antara Yeo Jiawei, pegawai bank Singapura yang dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan berhubung kes itu pada Disember lalu dan perunding kewangan NRA Capital.
Pada 2013, Yeo memberitahu Ang yang beliau amat memerlukan laporan penilaian itu untuk menunjukkan PetroSaudi bernilai AS$2.4 bilion. Ang bersetuju berbuat demikian dengan syarat beliau akan mendapat komisen dan menghubungi NRA.
Ang yang bekerja untuk Maybank Kim Eng Securities, tetapi berurusan dengan Yeo, adalah antara individu yang dihukum kerana terbabit dalam skandal 1MDB.
Empat pegawai bank swasta sudah dipenjarakan setakat ini dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pada Mac lalu turut mengharamkan seorang bekas pengerusi Asia Tenggara Kumpulan Goldman Sachs terbabit dalam industri sekuriti selama 10 tahun, ekoran pelanggaran berkaitan pempelbagaian haram wang berbilion dolar daripada dana 1MDB.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura juga bercadang mengenakan larangan ke atas 3 individu lain.
Peguam menyifatkan Ang berada “di peringkat bawah orang yang dikaitkan dengan kes ini”.
“Namanya dicemari berus sama dan dia berdepan kesukaran mencari pekerjaan,” kata peguamnya, Hamidul Haq.
Singapura turut menutup cawangan tempatan 2 bank swasta Switzerland – BSI dan Bank Falcon – yang digunakan dalam pemindahan wang haram itu.
Singapura haramkan bekas pengerusi Goldman Sachs kerana 1MDB
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram