Penguat kuasa Imigresen wanita cedera dirempuh warga asing
Jaafar Mohamed berkata, selain penguat kuasa wanita yang cedera sehingga pengsan itu, terdapat juga anggota penguat kuasa lain yang luka dan terseliuh dalam insiden tersebut.
PUTRAJAYA: Seorang penguat kuasa Imigresen wanita cedera akibat dirempuh warga asing yang cuba meloloskan diri dalam operasi yang dijalankan di sekitar Jalan Desa Aman Puri Kepong, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed berkata, selain penguat kuasa wanita yang cedera sehingga pengsan itu, terdapat juga anggota penguat kuasa lain yang luka dan terseliuh dalam insiden tersebut.
Beliau berkata, 14 warga asing turut cedera ringan dalam operasi itu.
“Penguat kuasa wanita yang cedera itu dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, seramai 120 penguat kuasa terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang bermula 12.15 tengah malam dengan sasaran utama ialah warga Afrika yang menurut aduan orang awam, sering mengganggu ketenteraman awam.
“Ketika serbuan, sebahagian warga asing bertindak ganas dan cuba bergelut dengan penguat kuasa bagi meloloskan diri.
“Semua warga asing yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap,” katanya.
Katanya, seramai 156 orang diperiksa dalam operasi itu dan hasilnya 102 orang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
Warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 80 lelaki Nigeria, seorang lelaki Senegal dan 3 lelaki Bangladesh. Turut ditahan masing-masing seorang wanita Indonesia dan Filipina, 2 wanita Thailand serta 14 wanita Nigeria.
Semua yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun akan dihantar ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, disyaki memiliki pas/permit palsu dan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau berkata, Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.