Khalid gesa PBT henti beri lesen pusat hiburan keluarga
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tidak adil menuding jari kepada polis dalam isu pencegahan judi sedangkan PBT sendiri yang mengeluarkan lesen.
“Mengapa perlu ada pusat hiburan keluarga tetapi di dalamnya terdapat mesin yang kemudian disalah guna menjadi mesin judi,” katanya pada sidang media di Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Beruang hari ini.
Beliau berkata adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada polis dalam isu pencegahan judi sedangkan PBT sendiri yang mengeluarkan lesen dan mempunyai peruntukan undang-undang bagi membendungnya.
“Terdapat pelbagai peruntukan di bawah kuasa PBT termasuk menyita premis dan sebagainya. Namun apabila premis hiburan keluarga menyalah guna lesen, mereka (PBT) masih beri masa 3 bulan, 6 bulan mahupun hingga hujung tahun, jadi masalah ini berterusan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mengenai perjumpaan itu, Khalid berkata ia bertujuan memberi semangat kepada kontinjen Melaka untuk menjalankan tanggungjawab seperti biasa selepas berdepan isu penahanan anggota dan pegawai kanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.