‘Kerajaan rangka peraturan halang pesara pegang jawatan tinggi swasta’
Paul Low berkata, pegawai bersara dilantik sebagai pengerusi atau eksekutif dalam syarikat yang pernah mendapat kontrak daripadanya ialah tindakan tidak berintegriti dan menunjukkan wujud kepentingan konflik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dipetik Sin Chew Daily berharap peraturan tersebut dapat dikuatkuasakan tahun ini.
Beliau berkata, pegawai kerajaan bersara yang dilantik sebagai pengerusi atau eksekutif dalam syarikat yang pernah mendapat kontrak daripadanya merupakan 1 tindakan tidak berintegriti dan menunjukkan berlaku kepentingan konflik.
Katanya, Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) belum menentukan pegawai kanan kerajaan memerlukan berapa tahun “tempoh bertenang” sebelum dibenarkan berkhidmat dengan syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada mereka.
Low berkata, kerajaan tidak perlu menggubal undang-undang, sebaliknya hanya perlu merangka peraturan untuk mengawal fenomena “revolving door” dan Jitu mungkin perlu mengkaji pendekatan digunakan negara lain seperti Amerika Syarikat.
Sistem Rizab Persekutuan (FED) Amerika Syarikat pada mulanya hanya membenarkan seseorang pegawai itu berkhidmat dengan institusi kewangan swasta diselia mereka, selepas “tempoh bertenang” selama setahun daripada tarikh mereka meletak jawatan.
Peraturan “revolving door” itu kemudiannya diperluaskan kepada pegawai lain, pada tahun lalu, menyebabkan bilangan yang terjejas meningkat daripada kira-kira 100 orang kepada 250 orang.
Dalam pada itu, Low berkata, Jitu dan Jabatan Perkhidmatan Awam akan merangka garis panduan bagi menangani konflik kepentingan yang timbul daripada aktiviti kerajaan ditaja syarikat swasta.
Katanya, ketika ini, kerajaan hanya melaksanakan dasar tidak menerima hadiah, tetapi tiada peraturan untuk mengawal tajaan sektor swasta bagi delegasi kajian yang biasanya turut menikmati faedah sampingan, iaitu bercuti secara percuma.
“Tidak kira kontrak sebuah projek atau perolehan daripada pembekal, tindakan kakitangan kerajaan menerima tajaan swasta untuk delegasi kajian atau percutian adalah tidak sesuai.
“Ini kerana, ia mungkin mempengaruhi keputusan mereka dalam perolehan ubat-ubatan, peralatan dan penyelesaian IT serta timbul konflik kepentingan. Ini berlaku dalam agensi kerajaan negeri di bawah kerajaan pusat.”
Ditanya jika ia satu kelaziman untuk pegawai menerima tajaan menjalankan kajian dan bercuti, Low berkata, ada orang membangkitkan isu itu dalam mesyuarat, tetapi beliau tidak mempunyai statistik berhubung perkara itu.
“Ia satu kebiasaan dalam sektor swasta dan taktik pemasaran korporat.”
Dalam perkembangan lain, Low berkata, semua kementerian dan agensi kerajaan akan melaksanakan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bagi mengenal pasti bidang berisiko tinggi.
“Melaka ialah negeri pertama, diikuti kerajaan negeri Pahang.”
Katanya, Jitu mengenal pasti Pejabat Tanah sebagai jabatan berisiko tinggi menghadapi aktiviti rasuah kerana ia adalah jabatan penting dan banyak laporan media mengenai pertikaian serta penipuan tanah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Langkah pencegahan akan diambil terhadap Pejabat Tanah bagi mengurangkan masalah penipuan geran.”