Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Memalukan…pelanggan uzur diheret ke bank naik ambulans’

 | May 30, 2017

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, J Solomon berkata, pelanggan yang uzur dan tidak mampu pergi ke bank boleh meminta pegawai bank datang berjumpa dengan mereka.

J-Solomon-nubePETALING JAYA: Pelanggan uzur tidak perlu diheret ke bank semata-mata untuk menukar kad ATM, debit dan kredit baharu atau urusan lain, sebaliknya mereka boleh meminta pegawai bank pergi ke rumah untuk berbuat demikian, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE).

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, laporan seorang pelanggan uzur terpaksa menaiki ambulans ke bank untuk menukar kad bank hanya memburukkan nama institusi kewangan itu, seolah-olah tiada cara lain untuk mereka berurusan dengan bank.

“Memanglah pelanggan kena pergi bank untuk tukar kad baharu kalau ikut polisi supaya pihak bank boleh mengenal pasti tuan kad tersebut. Tetapi, kalau orang tua uzur, pihak bank boleh arahkan pegawai bank pergi jumpa warga emas itu dan pelanggan kena pergi ke bank bukan satu kewajipan.

“Mereka tidak semestinya perlu diheret ke bank untuk buat kad baharu,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian semalam, di mana seorang warga emas yang bergantung kepada mesin oksigen 24 jam terpaksa menaiki ambulans ke bank untuk menukar kad bank tamat tempoh kerana wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimasukkan ke dalam akaunnya tidak dapat dikeluarkan.

Azizah Mohamad, 77, dari kampung Kubang Sawa di Tumpat yang menghidap asma kronik hanya mampu bertahan 25 minit sahaja tanpa mesin oksigen dan situasi itu menyukarkannya ke bank dengan kenderaan biasa.

Proses membawa warga emas itu diuruskan Adun Pengkalan Kubor di Kelantan, Mat Razi Mat Ail.

Mengulas lanjut, Solomon menafikan warga emas itu pergi ke bank menaiki ambulans atas arahan pegawai bank.

“Saya tidak yakin bank yang mengarahkan warga emas itu. Pegawai bank harus pergi kepada pelanggan sebab pelanggan uzur, mustahil itu arahan pihak bank yang dilihat kejam seperti itu.

“Kalau itu arahan bank supaya bawa warga emas yang uzur itu ke bank, pihak atasan bank perlu ambil tindakan terhadap pegawai terbabit kerana tindakan itu memberi gambaran kurang sihat kepada institusi kewangan.”

Solomon turut mempersoalkan niat wakil rakyat BN itu memohon perkhidmatan ambulans dari Klinik Kesihatan Bunohan untuk membawa wanita berkenaan ke bank di Kota Bharu.

Katanya, tindakan Mat Razi itu memberi pandangan tidak baik kepada bank, seolah-olah pegawai bank tidak boleh menemui pelanggan uzur untuk menyelesaikan urusan rasmi bank.

“Kalau adun itu nak buat khidmat sosial, itu terpulang kepada adun itu. Tetapi, saya hairan kenapa adun itu nak buat publisiti, walaupun saya tidak pasti keadaan sebenar, sehingga meminta ambulans untuk membawa warga emas ke bank. Keadaan ini menggambarkan bank itu kejam,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments