Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pemandu Grab dan Uber tidak beri keterangan sebenar untuk tuntut insurans

 | June 2, 2017

Syarikat pengendali Grab dan Uber didakwa tidak menyediakan perlindungan insurans komersial dan enggan membayar pampasan sekiranya berlaku kemalangan.

uber-grab-1KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemandu perkhidmatan perkongsian kereta Grab dan Uber apabila terlibat dalam kemalangan tidak memberikan keterangan sebenar ketika membuat laporan polis untuk mendapatkan tuntutan insurans, kata seorang pemandu.

Ini kerana Grab dan Uber tidak menyediakan perlindungan insurans komersial dan enggan membayar pampasan sekiranya berlaku kemalangan, kata pemandu Lim Kim Hwa.

Malah, syarikat insurans persendirian tidak meluluskan tuntutan pelanggan yang kemalangan semasa menggunakan kenderaan peribadi sebagai kenderaan perdagangan.

“Lebih 90 ribu pemandu Grab dan Uber di Malaysia tidak diberi sebarang perlindungan insurans jika berlaku kemalangan ketika membuat perkhidmatan.

“Kebanyakan pemandu Grab tidak memberi keterangan sebenar ketika membuat laporan polis jika berlaku kemalangan. Kalau kita buat laporan kata kita bawa Grab, kita tidak boleh tuntut insurans kerana melanggar syarat syarikat insuran persendirian,” kata Lim pada sidang media di pejabat ahli Parlimen DAP Segambut hari ini.

Menurut Lim, beliau pemandu Grab pertama yang mengaku dirinya pemandu Grab dalam laporan polis selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Akibat kejujurannya, beliau berkata syarikat insurans tidak meluluskan permohonan tuntutannya sementara Grab enggan memberi pampasan.

“Malangnya, selepas laporan polis dibuat, syarikat Grab tidak menunaikan janji mereka atas pelbagai alasan. Malah saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1,000 selain dikenakan saman RM300,” katanya.

Beliau berkata selepas pelbagai bantahan dibuat, akhirnya Grab setuju membayar kos perubatan pemandu dan penumpang yang mengalami kecederaan sahaja.

“Sebulan selepas kemalangan syarikat memberitahu mereka tidak menyediakan insurans komersial, sebaliknya membayar kos perubatan di klinik dan hospital kepada pemandu dan penumpang yang cedera sahaja,” kata Lim, yang hampir setahun berkhidmat sebagai pemandu Grab.

April lalu, Lim terlibat dalam kemalangan ketika menghantar penumpangnya ke Taman Maluri.

Lim berkata ketika kejadian salah seorang dari 4 penumpangnya secara tiba-tiba membuka pintu dan keluar sebelum sebuah motosikal melanggar Perodua Myvi yang dipandunya.

Menurut Lim, ketika menandatangani kontrak sebagai pemandu Grab 8 bulan lalu, syarikat menjanjikan pelbagai manfaat termasuk boleh membuat tuntutan kecederaan dan perlindungan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Terma perjanjian antara syarikat dan pemandu di laman web Grab menyatakan pemandu bertanggungjawab ke atas semua tuntutan, keputusan dan liabiliti daripada sebarang kemalangan, kerugian atau kerosakan yang disebabkan atau didakwa disebabkan oleh operasi kenderaan dan perkhidmatan pengantaraan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng akan membawa perkara ini ke Parlimen pada sesi akan datang Julai nanti memandangkan kerajaan mahu meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi membolehkan perkhidmatan “e-panggilan” seperti Uber dan Grab menjadi perkhidmatan awam yang sah.

“Ia bertujuan untuk melindungi dan memelihara hak pemandu Grab dan Uber selain penumpang,” katanya. Mustahil kerajaan dapat menyekat perkhidmatan Grab dan Uber di negara ini. Jadi adalah wajar satu kaedah penyelesaian diwujudkan bagi membantu mereka yang terlibat.”

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri membentangkan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Pindaan mencadangkan kenderaan “e-panggilan” menjadi kenderaan perkhidmatan awam tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Nancy turut membentangkan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama yang antara lain mencadangkan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, untuk memasukkan larangan pengendalian perniagaan pengantaraan tanpa lesen daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan memasukkan takrif kenderaan “e-panggilan” dalam Jadual Pertama.

Kedua-dua RUU akan dibentang untuk bacaan kali ke-2 dan ke-3 pada sesi persidangan Dewan Rakyat Julai akan datang.

* Ivy Chong menyumbang kepada laporan ini.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments