Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PRU14: Nurul Izzah mahu terus lawan BN di Lembah Pantai

 | June 7, 2017

Naib presiden PKR itu menolak dakwaan kononnya majoriti pengundi Melayu di Lembah Pantai menolak beliau kerana tidak gemar caranya menyelesaikan masalah rakyat.

nurul-izzah

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar berikrar akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak 2 penggal lalu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut menolak dakwaan kononnya majoriti pengundi Melayu di Lembah Pantai menolak beliau kerana tidak gemar caranya menyelesaikan masalah rakyat.

“Tentu (saya akan pertahankan kerusi Lembah Pantai). Pada saya, komitmen kita di Lembah Pantai berterusan, saya terima arahan daripada parti dan begitulah yang kita teruskan,” katanya ketika melawat mangsa terbabit dalam insiden lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi pada 28 Mei lalu yang mencederakan 9 penduduk, termasuk warga emas.

“Saya akan tetap lawan, berusaha sebaik mungkin. Selama 2 penggal saya di sini, saya yakin bukan semua orang Melayu yang akan mendokong Umno-BN kerana kita tahu tahap populariti Najib Razak hanya sekitar 16 hingga 18% sahaja.”

Mengulas lanjut, naib presiden PKR itu berkata, walaupun berlaku pemindahan pengundi pos dari luar kawasan Lembah Pantai, beliau tetap akan melawan BN menggunakan isu semasa.

“Saya boleh tekankan bagaimana bukan sahaja peringkat Wilayah Persekutuan, malah juga Selangor secara keseluruhan membantah proses persempadanan semula yang dilakukan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

“Sehingga hari ini tidak dinamakan 2 pakar topografi dan geografi yang memberikan alasan kenapa 7,000 pengundi pos dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dimasukkan ke dalam Lembah Pantai, walaupun berada di luar kawasan.

“Warga kota jauh lebih bijak menilai, mereka tahu bagaimana dalam negara ini, termasuk di Kuala Lumpur atas dasar politik, diluluskan beberapa perkara,” katanya yang mengakui berdepan kesukaran pada PRU14 disebabkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pada PRU13, Nurul Izzah mendapat 31,008 undi daripada keseluruhan 72,396 pengundi untuk menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan majoriti 1,847 undi.

Nong Chik menggantikan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kalah mengejut di tangan Nurul Izzah – anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2008.

Pakatan Harapan sebelum ini mengkritik proses persempadanan semula yang dilakukan SPR dengan mendakwa ia memberi kelebihan kepada BN.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments