Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Keputusan rayuan Rafizi hina ahli Umno diketahui 13 Julai

 | June 9, 2017

Gobind Singh Deo berkata, sabitan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan tiada asas kerana kekurangan intipati untuk menunjukkan ahli Umno akan mengganggu keamanan hanya disebabkan kenyataan Rafizi Ramli.

gobind-rafiziSHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Julai ini untuk membuat keputusan berhubung rayuan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didapati bersalah menghina ahli Umno menerusi wawancara sebuah akhbar pada 3 tahun lalu.

Hakim, Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Gobind Singh Deo yang mewakili Rafizi dan timbalan pendakwa raya, Iskandar Ahmad.

Gobind berkata, sabitan terhadap wakil rakyat PKR itu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan niat yang disengajakan untuk mencetuskan gangguan keamanan, tiada asas.

“Dakwaan terhadapnya tiada asas kerana ia kekurangan intipati untuk menunjukkan ahli-ahli Umno yang dikatakan dihina disebabkan kenyataan Rafizi di akhbar itu akan menyebabkan mereka mengganggu keamanan.”

Tambahan, katanya, hanya 2 saksi memberitahu Mahkamah Sesyen ketika perbicaraan berlangsung yang mereka tidak berniat mengadakan demonstrasi jalanan, selepas kenyataan Rafizi disiarkan.

Pada 26 Januari 2016, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan denda RM1,800 kepada Rafizi kerana didapati bersalah menghina dan sengaja mencetuskan kemarahan ahli Umno dalam satu wawancara.

Beliau mendakwa Umno adalah dalang di sebalik serangan agama di Selangor pada 2014.

Kenyataannya dalam artikel bertajuk “Analyst: Will Rafizi quit if Selangor not toppled?” itu disiarkan fz.com dan The Edge Financial Daily.

Berhubung denda RM1,800 itu, Gobind berkata, Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menetapkan denda kurang RM2,000 selepas mempertimbangkan Rafizi selaku wakil rakyat dan denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya mempertikaikan denda itu “terlalu rendah” dan meminta hukuman lebih berat dikenakan kepada Rafizi.

“Mahkamah terkhilaf dalam menetapkan denda RM1,800 kepadanya.

“Hakim mengehadkan dirinya untuk menetapkan denda kurang daripada RM2,000 untuk mengelakkan pilihan raya kecil diadakan jika tertuduh (Rafizi) hilang kelayakan,” katanya.

Selain sabitan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Rafizi turut didapati bersalah kerana menganjurkan perhimpunan “Blackout 505” tanpa notis 10 hari di bawah Akta Perhimpunan Aman dan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dengan mendedahkan kandungan laporan audit 1MDB.

Rafizi didenda RM1,950 bagi kesalahan di bawah Seksyen 9(1)(a) Akta Perhimpunan Aman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 1 November 2016.

Untuk kesalahan di bawah OSA, naib presiden PKR itu dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun atas 2 pertuduhan memiliki dan mendedahkan kandungan dalam halaman 98 laporan itu. Beliau sudah memfailkan rayuan untuk sabitan itu.

Rafizi turut berdepan 1 lagi dakwaan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 kerana mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan skandal NFC.

Beliau tidak boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 jika gagal mengetepikan sabitan OSA dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000 oleh mahkamah.

Rafizi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah mendakwa ada trend di kalangan pencabar politiknya untuk menggunakan kes mahkamah belum selesai bagi menyerangnya.

“Mereka mahu menunjukkan saya bukan seorang yang boleh dipercayai kerana mempunyai banyak kes tertunggak di mahkamah,” katanya.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments