Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kementerian nafi beras cap Rambutan ‘beras plastik’

 | June 18, 2017

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap kilang beras jenama berkenaan di Mergong, Alor Setar susulan video mendakwa beras itu sebagai beras plastik.

beras_moa_plastik_600

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapati tiada bendasing plastik dijumpai dalam beras cap Rambutan Super Special Tempatan 5% berdasarkan keputusan awal ujian yang dijalankan.

Kementerian itu berkata pemeriksaan dan siasatan dilakukan terhadap kilang beras jenama berkenaan di Mergong, Alor Setar susulan video tular yang mendakwa beras berkenaan sebagai beras plastik.

“Beberapa siri ujian telah dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, sampel beras telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

Kenyataan itu menyebut hasil pemeriksaan juga mendapati tidak terdapat kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis itu.

Kementerian itu berkata syarikat berkenaan juga memperoleh bekalan beras dari sumber sah iaitu daripada petani dan pengilang tempatan.

“Siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan di kilang pengeluar negeri Perak pada 19 Jun (esok),” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut boleh menghubungi Pejabat Kawal Selia Padi di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Pejabat Kawal Selia Padi Kedah, Mohd Hidzir Selamat berkata, siasatan awal ke atas pemborong beras cap Rambutan, syarikat OEL Distribution (Kedah) Sdn Bhd dekat Alor Setar mendapati syarikat itu menggunakan beras tulen.

Katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan pagi tadi mendapati beras di kilang tersebut diambil dari sumber yang sah.

“Kami telah mengambil sampel beras dan menjalankan beberapa ujian tekstur dan ujian iodin dan hasilnya kami dapati ia mempunyai kanji dan merupakan beras tulen.

“Malah kami turut melakukan pemeriksaan ke atas mesin pengampit beras di premis berkenaan dan ia bukan digunakan untuk membuat beras plastik,” katanya ketika dihubungi Bernama .

Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap akan menghantar sampel beras berkenaan ke Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungan dan komposisi sebenar, sekali gus mengetahui keputusan yang lebih tepat.

Terdahulu, pihaknya melakukan pemeriksaan di sekitar premis tersebut dan melakukan beberapa ujian bagi memastikan ketulenan beras, termasuk memasak sendiri beras berkenaan.

Pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular seorang lelaki mendakwa beras cap Rambutan sebagai beras plastik, melalui tindakannya mengepal nasi dan membaling ke arah benda yang keras dan mendapati ia tidak pecah.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial, sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments