Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

KOM kecewa rekod 100m Zaidatul belum diiktiraf

 | June 18, 2017

Presiden KOM Karim berkata beliau amat kecewa dengan penganjur kerana tidak memberikan kita dokumen yang diperlukan

Karim-Ibrahim_Zaidatul-Husniah_600

KUALA LUMPUR: Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum mengesahkan catatan 11.45 saat yang dilakukan Zaidatul Husniah Zulkifli di Afrika Selatan pada 9 Mac lepas, untuk diiktiraf sebagai rekod kebangsaan.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim menjelaskan pihaknya masih menunggu dokumen berkaitan penjelasan teknikal daripada pihak penganjur Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan untuk mengiktiraf catatan itu.

Justeru, beliau berkata rekod kebangsaan acara 100 meter wanita, masih milik bekas pelari pecut kebangsaan, G. Shanti dengan catatan 11.50s yang dilakukan pada 1993.

“Bagi mengesahkan rekod ini, kita perlu mempunyai dokumen yang berkaitan, terutamanya imej, arah angin, masa dan sebagainya. Kita sudah memaklumkan kepada Persatuan Olahraga Afrika Selatan (SAAA) dan sehingga kini mereka belum memberikan apa-apa dokumen kepada kita.

“Saya amat kecewa dengan penganjur kerana tidak memberikan kita dokumen yang diperlukan. Tidak adil kepada atlet apabila mereka mempamerkan prestasi yang baik tetapi rekod mereka tidak diiktiraf disebabkan kecuaian pihak penganjur,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan Sukan SEA KOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar Afrika Selatan melaporkan bahawa SAAA bakal menyiasat kesahihan masa pada kejohanan tersebut yang mencurigakan apabila lebih 60 peratus peserta mencatat masa peribadi terbaik bagi acara pecut dan lari berhalangan.

Karim berkata, walaupun rekod Zaidatul itu masih belum diiktiraf, pelari pecut berusia 23 tahun itu masih boleh menggunakannya sebagai catatan masa terbaik peribadinya.

Zaidatul melakukan catatan itu ketika sesi jelajah Afrika Selatan dengan meraih tempat ke-2 di belakang pelari tuan rumah, Tamzin Thomas yang mewakili University of Western Cape (11.44 saat) manakala tempat ke-3 diraih seorang lagi atlet tuan rumah, Tsaone Sebele dari University of Johannesburg dengan masa 11.48s.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments