Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

JPN nafi 300,000 kaum India tiada kewarganegaraan

 | June 19, 2017

Pengurus SITF berkata dakwaan itu tidak logik memandangkan jumlahnya terlalu besar jika dibandingkan dengan populasi kaum tersebut di negara ini.

jpn-indianKUANTAN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan sejumlah 300,000 masyarakat India di negara ini tidak mempunyai kad pengenalan atau berhadapan masalah kewarganegaraan apabila bilangan mereka yang tampil pada program MyDaftar terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Yazid Ramli berkata sejak MyDaftar dimulakan pada 2011 dan program Mega MyDaftar 2017, hanya 1,813 permohonan diterima di 19 lokasi seluruh negara, sejak 5 Jun lepas.

Beliau berkata program dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) dan Jabatan Perdana Menteri itu akan diteruskan ke 4 lagi lokasi iaitu Kuantan (hari ini), Seberang Perai, Pulau Pinang; Temerloh, Pahang sebelum berakhir di Putrajaya pada 22 Jun ini.

“Daripada 1,813 permohonan, 1,018 orang mahu mendapatkan khidmat nasihat, mengambil borang atau membuat semakan terhadap permohonan sebelum ini.

“Sepanjang program ini berlangsung, JPN juga menerima permohonan daripada kaum lain. Kita mohon mereka yang ada masalah, tidak kira apa pun supaya hadir ke program ini kerana ia diadakan untuk memudahkan mereka berurusan dengan JPN,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Yazid juga memberi jaminan JPN akan cuba menyelesaikan masalah pemohon secepat mungkin kerana pihaknya perlu menjalankan siasatan termasuk membuat semakan di hospital yang didakwa tempat kelahiran pemohon sebelum meluluskan permohonan itu.

Sementara itu, Pengurus SITF G K Ananddan menyifatkan dakwaan 300,000 orang India mempunyai masalah kewarganegaraan adalah tidak logik memandangkan jumlahnya terlalu besar jika dibandingkan dengan populasi kaum tersebut di negara ini yang dianggarkan seramai 2.1 juta.

Menurut beliau, Program MyDaftar setakat ini menerima 12,000 permohonan masyarakat India melibatkan masalah berkaitan kelahiran, kad pengenalan dan kewarganegaraan.

Ananddan berkata daripada jumlah itu, 7,000 permohonan berjaya diselesaikan manakala bakinya masih dalam pertimbangan kerana masalah berkaitan dokumen tidak lengkap dan sebagainya.

Beliau juga menolak kemungkinan kaum India tidak sedar akan kewujudan program MyDaftar walaupun publisiti diberikan menerusi media cetak dan elektronik, media sosial dan juga penyebaran brosur di lokasi tumpuan.

“Masalah kewarganegaraan berpunca akibat kurang kesedaran dan masalah gejala sosial dalam masyarakat sendiri. Kerajaan tidak wajar dipersalahkan dalam isu ini kerana tanggungjawab untuk mendaftar kelahiran terletak pada ibu bapa atau penjaga.

“Mereka yang harus tampil melakukan urusan (pendaftaran). Tapi ada yang hanya berdiam diri dan datang berurusan dengan JPN apabila mengalami kesukaran seperti tidak boleh mendaftarkan anak ke sekolah kerana tiada sijil kelahiran,” kata Ananddan.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang mengalami masalah itu agar segera menyelesaikannya kerana semakin lama ia dibiarkan, semakin sukar untuk pemohon mengemukakan bukti mereka dilahirkan di negara ini.

 

Tiada sijil kahwin, daftar lahir punca kaum India sukar dapat kewarganegaraan


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments