Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

MMA: Kecederaan Zulfarhan mungkin lain ketika dirawat dan bedah siasat

 | June 19, 2017

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ravindran Naidu berkata, jika kecederaan Zulfarhan konsisten dengan apa yang dimaklumkan mangsa, doktor mungkin tidak mengesyaki mangsa didera.

zulfarhannPETALING JAYA: Apa yang doktor nampak ketika merawat pesakitnya mungkin sangat berbeza dengan kecederaan yang dikesan ketika bedah siasat dilakukan, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merujuk kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Jika kecederaan adalah konsisten dengan sejarah diberikan mangsa, doktor itu mungkin tidak mengesyaki wujud tindakan menyalahi undang-undang,” kata Presiden MMA, Dr Ravindran Naidu dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan Kementerian Kesihatan akan memanggil doktor yang merawat Zulfarhan kerana tidak melaporkan kes itu kepada polis, sebelum pegawai kadet laut UPNM itu meninggal dunia akibat didera pada 1 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam dipetik BH Online sebagai berkata, doktor terbabit sepatutnya tahu membezakan kesan kecederaan akibat didera atau sebaliknya, termasuk segera melaporkan kepada polis jika kecederaan pesakit mencurigakan.

Mengulas lanjut, Dr Ravindran berharap Kementerian Kesihatan akan mendengar penjelasan doktor yang merawat Zulfarhan dengan adil, sebelum mengeluarkan garis panduan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Kami juga berharap Kementerian Pendidikan Tinggi proaktif dalam menyiasat bagaimana tindakan kejam itu berlaku tanpa dikesan mereka yang berkuasa di universiti itu.

Beliau turut menyuarakan rasa simpati terhadap mangsa dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Pada 14 Jun lalu, 5 pelajar UPNM dituduh membunuh Zulfarhan, manakala seorang lagi dituduh bersubahat.

Siasatan awal polis mendapati individu terbabit memaklumkan doktor kecederaan dialami Zulfarhan disebabkan latihan ketenteraan dijalani mereka di UPNM.

Doktor terbabit juga didakwa mengeluarkan surat rujukan untuk mangsa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, tetapi mangsa dan rakannya menolak dengan alasan timbul masalah dengan pihak universiti.

Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik swasta di Bangi, pada 27 Mei lalu dan sekali lagi pada 31 Mei untuk rawatan susulan, sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang sekitar 8 malam pada 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan lecur hampir 80% di badannya dan meninggal dunia kira-kira 2 jam kemudian.

Pada 3 Jun lalu, The Star memetik sumber sebagai mendakwa penuntut tahun ke-3 jurusan kejuruteraan elektrik itu diseksa selama 2 hari dengan seutas tali pinggang, paip getah, batang besi dan penyangkut baju oleh rakan universitinya pada 20 dan 21 Mei lalu kerana dituduh mencuri sebuah komputer riba.

 

Tidak maklum polis, kementerian panggil doktor rawat Zulfarhan

5 penuntut UPNM didakwa membunuh pegawai kadet


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments