Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Najib nasihat rakyat tolak pemimpin ‘syok sendiri’

 | June 19, 2017

Najib berkata, tiada gunanya melantik si polan sebagai calon perdana menteri, sedangkan mereka gagal menguasai majoriti kerusi di Parlimen.

najib-bumiputra

KANGAR: Rakyat dinasihati memilih pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara, bukannya pemimpin “syok sendiri” sehingga sanggup mencalonkan diri sendiri menjadi perdana menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam keadaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terus konsisten menabur jasa kepada rakyat, pembangkang pula semakin bercelaru dan tidak mampu membela nasib rakyat.

“Tiada siapa yang berhak menjadi perdana menteri, melainkan melalui proses pilihan raya. Dalam sistem demokrasi berparlimen, parti yang banyak memenangi kerusi layak membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri.

“Tidak boleh tawar diri sendiri untuk jadi perdana menteri seperti yang berlaku dalam pembangkang. Perdana menteri sejak merdeka adalah presiden Umno sebab Umno yang paling banyak kerusi di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi Umno negeri Perlis yang dihadiri 3,000 ahli parti di Dewan 2020 hari ini.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Najib berkata, kekuatan Umno masih utuh dan kukuh serta mampu memenangi pilihan raya akan datang.

“Sebab itu, kita tidak boleh dengar mana-mana kumpulan yang kerap kali bermesyuarat semata-mata mahu memilih calon perdana menteri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, tiada gunanya melantik si polan sebagai calon perdana menteri, sedangkan hakikatnya mereka gagal menguasai majoriti kerusi di Parlimen.

“Parti Bunga (PPBM) ada satu saja kerusi. Umno ada 88 kerusi dan sebab itu tidak masuk akal untuk mereka pilih calon perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yakin Perlis mampu memastikan Umno dan BN kekal memerintah pada pilihan raya umum nanti berdasarkan perpaduan utuh dalam kalangan ahlinya.

“Saya tengok di Perlis boleh capai kemenangan 3-0 (kekal kerusi Kangar, Arau dan Padang Besar) dan BN tubuh kerajaan nanti,” katanya.

Najib turut menasihati ahli parti mengambil iktibar daripada peperangan Badar dan Uhud pada zaman Rasulullah dengan mentaati pemimpin.

“Kita tidak kira negeri kecil atau besar, tapi apa yang kita mahu adalah kemenangan 100% dan kalau patuh kepada prinsip wala, Insya Allah kita akan menang 100%,” katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan RM6 juta kepada Perlis untuk membaik pulih rumah usang dan membaiki sistem jalan raya.

Najib dalam rangka lawatan 1 hari ke Perlis dan Kedah, kemudian dijadualkan menghadiri majlis berbuka puasa, solat Maghrib, penyerahan sumbangan dan pelancaran lampu jalan di Masjid Pering, Kubang Pasu, Kedah.

Beliau dijadual menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Bukit Pinang, Kota Setar, Alor Setar sebelum berlepas pulang ke ibu negara.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments