Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Najib yakin FGV ada masa depan cemerlang

 | June 19, 2017

Najib berkata tindakan dan perubahan yang berlaku terhadap FGV mencerminkan hasrat kerajaan mengembalikan syarikat itu ke landasan yang kukuh.

najib-fgvPUTRAJAYA: Apa sahaja tindakan dan perubahan ke atas Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengembalikan syarikat itu ke landasan kukuh, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Kita yakin FGV ada masa depan cemerlang,” kata perdana menteri selepas majlis penyerahan kunci Pembangunan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) hari ini.

Pada 6 Jun lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar juga diminta bercuti.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku dalam FGV dan merampas sejumlah dokumen di ibu pejabat syarikat itu.

Kerajaan kemudiannya melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan 4 pegawai kanan itu, selain meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.

Hari ini pula, Tan Sri Isa Samad melepaskan jawatan pengerusi FGV yang kini dipangku pakar ekonomi veteran, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Najib berkata, Isa “dengan rela hati” melepaskan jawatan itu dalam pertemuan mereka pagi tadi yang turut disertai Idris.

“Kita bincang secara mendalam tentang masa depan FGV dengan Isa…Untuk menghargai dan terus memberikan peranan kepada Isa, saya setuju melantiknya sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),” katanya.

Jawatan itu disandang Tan Sri Syed Hamid Albar sehingga 3 Jun lalu, sebelum beliau bersara.

Ditanya kenapa Sulaiman dilantik memangku jawatan itu, Najib berkata, mereka mahu FGV terus beroperasi tanpa sebarang gangguan.

“Ini sehingga kami membuat keputusan muktamad. Kita perlu ada perubahan segera. Kalau orang baru perlu dilantik lembaga pengarah, ia mengambil masa.”

Sulaiman ialah pengarah bukan eksekutif bebas FGV dan pengerusi Telekom Malaysia (TM) serta pengerusi kumpulan pemantau pemegang saham minoriti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan siasatan dalaman FGV terhadap Zakaria dan 3 pegawai lain sebagai “perkara biasa” untuk mematuhi prinsip tadbir urus sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Tak semestinya (mereka) bersalah. Apabila selesai nanti, lembaga pengarah akan buat keputusan dengan adil dan sebaik mungkin,” katanya.

 

Isa Samad letak jawatan pengerusi FGV, kini ke SPAD


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments