Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

PAS masih terbuka kerjasama dengan PKR, PPBM

 | June 19, 2017

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pelawaan itu terbuka kepada PKR dan PPBM, jika mereka hendak memutuskan hubungan dengan Amanah dan DAP untuk menjatuhkan BN pada PRU14.

Mohd-Amar-Nik-Abdullah124

PETALING JAYA: PAS yang mengetuai Gagasan Sejahtera sebagai blok ke-3 masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk PKR dan PPBM, tetapi bukannya Amanah serta DAP, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib presiden PAS itu dipetik Harakah Daily berkata, pelawaan itu terbuka kepada PKR dan PPBM, jika mereka hendak memutuskan hubungan dengan Amanah dan DAP untuk menjatuhkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sedia berdepan saingan pelbagai penjuru pada PRU14.

“Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja kecuali PAN (Amanah) dan DAP, tidak kira apa bentuk hubungan seperti kerjasama atau persefahaman.

“Bahkan kita menawarkan kepada PPBM dan juga PKR untuk bersama kita, sekiranya mereka tidak berminat lagi dengan PH (Pakatan Harapan),” katanya dipetik Harakah Daily pada dialog bersama media sempena program berbuka puasa anjuran Pejabat Menteri Besar, semalam.

Pada muktamar 2015, PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Ia juga berkeras tidak akan bekerjasama dengan parti serpihannya, Amanah.

Pada 12 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan PPBM dengan alasan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Pada 11 Mei lalu pula, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama hampir 18 tahun dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63, 30 April lalu di Kedah.

Parti Islam itu mendakwa PKR melanggar 3 syarat kerjasama, termasuk gagal menyokong PAS dalam agenda Islam dan menentangnya pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lalu.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam reaksinya berkata, parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama dengan PAS, tetapi mereka akan tetap bekerjasama dengan Amanah dan DAP bagi menghadapi PRU14.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, parti reformasi itu akan mengkaji sebarang cadangan dikemukakan PAS.

“Kita akan mengkaji apa sahaja cadangan untuk bekerjasama, tapi pendirian kita jelas, kita akan bekerjasama dengan semua parti termasuk PPBM, DAP dan Amanah dan kita mengalu-alukan kerjasama dengan PAS. Tapi bentuk ini kita boleh kaji,” katanya ketika dihubungi FMT malam ini.

PH ditubuhkan DAP, Amanah dan PKR pada September 2015, dengan PPBM secara rasmi menjadi parti komponen ke-4 pada Mac lalu.

Dalam Gagasan Sejahtera pula, PAS dan Berjasa membawa aliran politik Islam, sementara Ikatan berdasarkan konstitusionalisme.

Pada 15 Mei lalu, PAS mengumumkan hasrat Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menyertai Gagasan Sejahtera yang diasaskan pada 16 Mac 2016.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PCM perlu tahu hala tuju dan dasar Gagasan Sejahtera terlebih dahulu sebelum menyertainya.

April lalu, bekas ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yakin PAS akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, di samping memerintah 5 negeri, pada PRU14.

Ketika ini, PAS mengekalkan pentadbirannya di Kelantan, yang ditawan sejak 1990.

Hubungan PAS-PKR tamat serta merta, kata Majlis Syura


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments