Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pejabat PM: Alasan munasabah untuk gantung 4 eksekutif FGV

 | June 19, 2017

Kerajaan dan FGV berkata, 4 eksekutif itu boleh membela diri 'sejajar undang-undang keadilan asasi' dan tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.

FGV-PutrajayaPETALING JAYA: Satu laporan bebas bagi menyiasat dakwaan pelanggaran prosedur dalam Felda Global Ventures Holdings (FGV) menunjukkan ada fakta dan alasan munasabah untuk memulakan prosiding disiplin terhadap 4 pegawai kanan syarikat itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan dan FGV berkata, syarikat itu perlu meneruskan prosiding disiplin yang sedang dijalankan.

Mereka berkata, eksekutif terbabit boleh membela diri “sejajar undang-undang keadilan asasi” dan tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.

FGV menjadi tumpuan media apabila 4 eksekutifnya, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad, diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan dalaman berhubung tunggakan bayaran sebuah syarikat Afghanistan bernama Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Susulan itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilantik sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan 4 pegawai kanan itu, selain meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.

Kerajaan dan FGV berkata, mereka sudah mendapat laporan Idris mengenai keputusan Lembaga Pengarah FGV menggantung Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Merujuk kemerosotan prestasi kewangan FGV dan Felda, mereka berkata, penilaian komprehensif perniagaan itu yang dimulakan tahun lepas perlu diselesaikan “segera”.

“Selepas selesai, ia akan meletakkan platform betul supaya FGV dan Felda menjadi syarikat berjaya buat sekarang dan pada masa depan. Platform ini termasuk model kepimpinan, strategi, perniagaan dan operasi yang betul.”

Mereka berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu itu masih dijalankan dan hasilnya akan diumumkan selepas siasatan selesai.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments