Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pejabat Tourism Malaysia New York ditutup selepas 23 tahun

 | June 19, 2017

Pejabat Tourism Malaysia New York akan ditutup secara rasmi pada 30 Jun ini sebagai langkah penjimatan kos, ia menyusul penutupan 14 pejabat pelancongan itu di seluruh Malaysia 23 Januari lalu.

Tourism-Malaysia-New-York

NEW YORK: Setelah beroperasi selama 23 tahun di bandar raya bergelar “Big Apple” ini, pejabat Tourism Malaysia New York yang ditubuhkan bagi mempromosi sektor pelancongan Malaysia dan menarik pelancong, khususnya dari pantai timur Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, akhirnya melabuhkan tirainya.

Walaupun pejabat penuh bersejarah itu akan menutup pintunya secara rasmi pada 30 Jun ini, tetapi sejak beberapa minggu lepas, petugasnya bertungkus lumus memindahkan fail serta perkakas tertentu ke ibu pejabat Tourism Malaysia di Kuala Lumpur, manakala beberapa perabot dan peralatan lain akan diderma atau disumbangkan kepada institusi Malaysia di bandar raya ini.

Pejabat itu turut memaklumkan kepada sejumlah besar pengikutnya serta “Friends of Malaysia” tentang penamatan operasinya. Setakat ini, kira-kira 500 ejen perjalanan dimaklumkan tentang perkara itu.

Penulis Bernama yang menghadiri majlis perasmian pejabat itu 23 tahun lepas, mengikuti secara dekat evolusi usaha mempromosi pelancongan Malaysia yang beralih daripada melayan pertanyaan melalui surat kepada promosi dan usaha pemasaran secara agresif sehinggalah usaha mewujudkan kemudahan komunikasi dan digital serba canggih untuk mempromosi sektor pelancongan Malaysia di negara ini.

Dua daripada staf tempatan paling senior iaitu pengurus pemasaran Mary M. Scully dan eksekutif pemasaran Nurulhuda Abdul Rahim, yang bertugaas selama 23 tahun di pejabat itu, kelihatan sedih tetapi tenang apabila berbicara tentang penutupan pejabat berkenaan.

Kedua-dua wanita itu berkata, mereka akan berehat sebulan dua sebelum melakukan sesuatu yang dirasakan sesuai.

Sementara itu, dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya, Ahmad Johanif Mohd Ali yang merupakan naib presiden terakhir pejabat Tourism Malaysia New York selepas penggal perkhidmatannya berakhir dengan penutupan pejabat itu berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah penjimatan kos.

“Sayang sekali, penutupan ini tidak dapat dielakkan. Kami menghargai kesetiaan dan dedikasi staf tempatan kami serta berterima kasih kerana khidmat yang telah mereka curahkan,” katanya.

Penutupan pejabat itu sudah tentu meninggalkan kekosongan yang bukan mudah untuk diisi. Bagaimanapun, usaha penggalakan pelancongan di bahagian pantai timur negara ini akan diterajui pejabat Tourism Malaysia Los Angeles.

Pejabat itu yang sebelum ini bertanggungjawab bagi wilayah pantai barat sahaja, kini diamanahkan dengan tugas meliputi seluruh AS serta rantau lain.

Johanif berkata, pejabat konsul jeneral Malaysia di New York dan Kedutaan Malaysia di Washington juga akan membantu mempromosi Malaysia melalui aktiviti kebudayaan, bagi menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik.

Pejabat Tourism Malaysia New York akan menggunakan Facebook untuk berhubung dengan mereka yang menjadi penghubungnya kerana sambungan telefonnya ditamatkan mulai Ahad ini.

Sementara itu, Malaysia akan terus menyertai The New York Times Travel Show (NYTTS) di Javits Convention and Exhibition Center, New York pada Januari 2018 manakala Tourism Malaysia Los Angeles pula akan mengambil bahagian dalam NYTTS mulai 2018.

“Ia merupakan pameran perjalanan dan pelancongan paling penting di negara ini dan Tourism Malaysia akan terus mempamerkan keunikan Malaysia pada acara itu yang menjadi perhatian pengusaha, ejen pelancongan dan pihak lain mempunyai kaitan dengan industri perjalanan,” kata Johanif.

Beliau akan kembali ke ibu pejabat di Kuala Lumpur tidak lama lagi, manakala timbalannya Ednie Rahma Ab Rahim yang mula bertugas di New York beberapa bulan lepas, ditukarkan ke pejabat Tourism Malaysia Los Angeles.

Walaupun ketibaan pelancong dari AS ke Malaysia menurun pada suku pertama 2017, namun Tourism Malaysia meramalkan ia kembali meningkat pada suku ke-2 2017.

Menurut data ibu pejabat di Kuala Lumpur, jumlah ketibaan dari AS pada suku pertama Januari hingga Mac 2017 menurun 12.9% kepada 52,237 berbanding angka sebelumnya.

Hasil juga menyusut pada suku sama 2017, iaitu sebanyak 10.9% kepada RM0.16 bilion. AS menduduki tangga ke-14 daripada 15 negara paling ramai rakyatnya melawat Malaysia pada suku pertama 2017.

Sepuluh negara teratas dari segi jumlah ketibaan rakyatnya di Malaysia ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Jepun, United Kingdom dan Australia.

Bagaimanapun, Johanif berkata, berdasarkan daftar tempahan tiket penerbangan ke Malaysia pada musim panas Jun hingga Ogos 2017, ketibaan dari AS diramalkan berkembang sebanyak 14% berbanding tempoh sama sebelumnya.

“Ini menunjukkan kami akan mencatat pemulihan pada suku ke-2 tahun ini.

“Perangkaan bagi ketibaan dari AS pada April yang menunjukkan trend menurun itu ditampung semula dengan pertumbuhan sebanyak 9.5% dalam ketibaan pada 2016,” katanya.

AS adalah pasaran pelancongan terbesar dunia dari segi perbelanjaan rakyatnya yang melancong ke luar negara.

Beberapa pengusaha pelancongan secara peribadi memberitahu Bernama, mereka berharap Malaysia akan membuka semula pejabat pelancongannya di New York.

“Memang sesuatu yang sukar untuk datang dan memulakannya kembali. Kehadiran secara berterusan adalah penting untuk memelihara momentum pelancongan,” kata David Eisenberg, perunding perjalanan dan pelancongan berpejabat di New York.

Nazri: Semua pejabat Tourism Malaysia ditutup elak pertindihan

Laporan: Cukai hotel untuk tampung defisit RM250 juta Tourism Malaysia


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments