Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Serangan di luar masjid UK, AS bunuh 2 jemaah

 | June 19, 2017

Insiden rempuhan van di sebuah masjid di London menyebabkan seorang jemaah terbunuh, manakala seorang gadis beragama Islam dibunuh dengan kejam di Virginia, AS.

finsbury-parkPETALING JAYA: Masyarakat Islam di seluruh dunia berang selepas 2 umat Islam maut dalam serangan berasingan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Di utara London, sebuah van merempuh jemaah yang sedang keluar dari sebuah masjid di Finsbury Park, tengah malam tadi (sekitar 7 pagi waktu Malaysia) mengakibatkan seorang maut dan 10 lagi cedera.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.

Reuters memetik polis sebagai berkata, 8 mangsa cedera dikejarkan ke 3 hospital, manakala 2 lagi dirawat di tempat kejadian kerana kecederaan ringan.

Seorang pemandu van berusia 48 tahun dikepung orang ramai di tempat kejadian, sebelum ditahan polis.

Perdana Menteri Britain, Theresa May tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan pengganas.

Ini adalah insiden berdarah ke-3 di London dalam tempoh kurang sebulan, selepas serangan di pusat bandar itu dan kebakaran Grenfell Tower di utara Kensington yang meragut puluhan nyawa.

Di AS pula, Reuters memetik pihak berkuasa sebagai berkata, mayat seorang gadis Islam berusia 17 tahun yang dipukul dan diculik selepas meninggalkan sebuah masjid di Virginia, pada Ahad, ditemui di sebuah kolam.

Gadis itu dilaporkan diserang pada awal pagi Ahad lalu ketika beliau bersama beberapa rakan yang berjalan di luar masjid itu, terlibat dalam satu pertelingkahan dengan seorang pemandu.

Jabatan Polis Daerah Fairfax dalam satu kenyataan berkata, pemandu itu keluar dari keretanya dan menyerang gadis terbabit, sebelum mangsa dilaporkan hilang oleh rakannya yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut polis, mayat seorang gadis dipercayai remaja itu ditemui di sebuah kolam di Sterling, kira-kira 3 petang.

Susulan itu, polis menahan seorang pemandu disyaki yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Darwin Martinez Torres, 22, dan akan mendakwanya atas kematian gadis terbabit.

Kadar kejadian yang dikaitkan dengan anti-Islam di AS melonjak 57% pada 2016 kepada 2,213 kes berbanding 1,409 kes pada 2015, menurut 1 kajian yang diumumkan bulan lalu.

 

Van putih rempuh orang ramai di luar masjid di London


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments