Duta Malaysia jamin sokong Erdogan lawan pengkritiknya
Duta Besar Malaysia ke Turki berkata, penghantaran pulang 3 warga Turki bulan lalu adalah tindakan perlu terhadap gerakan itu yang didakwa kerajaan Erdogan sebagai kumpulan pengganas.
PETALING JAYA: Duta Besar Malaysia ke Turki memberi jaminan Putrajaya akan terus menyokong Ankara dalam usaha menentang gerakan Gulen, susulan penghantaran 3 warga Turki dari Kuala Lumpur ke negara itu, bulan lalu.
Abd Razak Abdul Wahab berkata, tindakan Malaysia itu sejajar pendiriannya untuk menyokong mana-mana negara dalam usaha memerangi “ekstremisme”.
Dalam satu temubual bersama portal berita Daily Sabah, Ahad lalu, beliau merujuk penghantaran pulang 3 lelaki itu sebagai tindakan terhadap “Feto” (Organisasi Pengganas Fetullah), gelaran yang diberikan kerajaan Turki pimpinan Presiden Reccep Tayyip Erdogan terhadap penyokong Fethullah Gulen yang kini hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Razak dipetik sebagai berkata, Malaysia mengecam keganasan dalam semua bentuk dan akan membantu Turki menentang Feto.
“Feto berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa Turki dan juga dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas oleh OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam).
“Oleh itu, tindakan kami terhadap gerakan Feto di Malaysia sejajar pendirian ini,” kata Razak ketika diminta memberi lebih banyak maklumat berhubung kerjasama antara 2 negara itu selepas “beberapa ahli Feto yang ditahan di Malaysia kerana membiayai IS, diusir atas permintaan Turki”.
Erdogan sebelum ini mengharamkan pergerakan Gulen yang diasaskan sarjana Turki itu, yang dituduh terlibat dalam cubaan merampas kuasa pada Julai 2016.
Susulan kegagalan rampasan kuasa oleh sekumpulan tentera pada tahun lalu, kerajaan Erdogan memperhebatkan tindakan keras ke atas penentangnya, termasuk menutup syarikat media dan memecat puluhan ribu penjawat awam.
Pihak berkuasa Turki sudah menyiasat kira-kira 150,000 individu dan menahan hampir 50,000 orang.
Erdogan turut menambah tekanan ke atas rakyat Turki di luar negara, terutamanya mereka yang dilihat menjadi penyokong Gulen, di mana gerakannya mengendalikan kira-kira 2,000 pertubuhan pendidikan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, pengkritik dan aktivis hak asasi manusia menuduh Erdogan menyalahkan Feto yang didakwa tidak wujud, semata-mata untuk memburukkan Gulen.
Pada 11 Mei lalu, 3 lelaki Turki yang menetap di Malaysia – Ihsan Aslan, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik – diusir selepas ditahan polis, sekalipun rayuan ahli keluarga yang bimbang mereka akan diseksa di negara itu.
Mereka bertegas 3 lelaki itu tidak berbahaya atau melakukan sebarang kesalahan serta tiada kaitan dengan aktiviti pengganas.
Pada Oktober 2016, 2 lelaki – Alettin Duman dan Tamer Tibik ditahan pihak berkuasa Malaysia dan diekstradisi ke Turki. Mereka didakwa mempunyai hubungan dengan gerakan Gulen yang diharamkan di Turki.
Dalam pada itu, Razak berkata, Malaysia mahu melihat lebih banyak pelaburan dari Turki.
“Ketika ini, wujud ketidakseimbangan dari segi jumlah pelaburan antara 2 negara,” katanya yang berharap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara 2 negara yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015 dapat membantu mencapai jumlah dagangan sebanyak AS$5 bilion (RM21.39 bilion) menjelang 2020.
“Jumlah dagangan Malaysia dan Turki dicatatkan mencecah AS$1.69 bilion pada 2015 dan melonjak kepada AS$2.32 bilion pada 2016.”
Razak berkata, kerjasama turut berlaku dalam industri pertahanan antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) untuk memasang kenderaan tempur berperisai jenis ACV-300 yang dihasilkan pengeluar ketenteraan Turki, FNSS Savunma Sistemleri A.Ş.
Ia terdiri daripada sebuah kenderaan tempur infantri (IFV) dan Pengangkut Anggota Berperisai (APC), yang akan dibekalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dengan nama Adnan itu.
“Deftech turut menjalin kerjasama teknologi dengan FNSS dan pengeluar utama peralatan tentera yang lain.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya percaya industri pertahanan mempunyai banyak potensi untuk kerjasama kedua-dua negara.”