Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Isa Samad dan isteri tiba di ibu pejabat SPRM

 | June 21, 2017

Isa Samad dan isterinya cuba mengelak wartawan yang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM itu sejak pagi tadi.

Isa-Samad-Bibi-Sharliza-Mohd-Khalid

PUTRAJAYA: Tan Sri Isa Samad yang baru 2 hari melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama isterinya hari ini.

Isa dan Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga bekas adun Paroi dipanggil SPRM semalam untuk diambil keterangan. SPRM sehingga kini belum mendedahkan maklumat berhubung siasatan itu.

Pasangan itu yang tiba kira-kira jam 9.40 pagi tadi dengan menaiki Lexus berwarna hitam, cuba mengelak wartawan yang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM itu sejak pagi tadi.

Isa meletak jawatan serta-merta sebagai pengerusi FGV, beberapa jam selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, Isnin lalu.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jawatan yang dikosongkan selepas persaraan Tan Sri Syed Hamid Albar pada 3 Jun lalu.

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob pula memangku jawatan pengerusi FGV.

Isa-Samad-Bibi-Sharliza-Mohd-Khalid-2

FGV menjadi tumpuan media apabila 4 eksekutifnya, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad diarah bercuti sementara menunggu siasatan dalaman berhubung tunggakan bayaran syarikat Afghanistan bernama Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

FGV disiasat SPRM susulan dakwaan dibuat Zakaria pada 6 Jun lalu. Beliau menggesa agensi itu menyiasat tawaran dibuat syarikat perladangan gergasi itu, khasnya membabitkan Jabatan Pemerolehan FGV.

Dilaporkan ada dakwaan salah laku dan penyalahgunaan kuasa terhadap kepimpinan FGV.

Zakaria menemui SPRM pada 7 Jun lalu dan keesokannya, agensi itu menyerbu ibu pejabat FGV di Menara Felda di Kuala Lumpur dan mengambil sejumlah dokumen untuk membantu siasatan.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri berkata, mereka sudah mendapat laporan bebas daripada bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai keputusan Lembaga Pengarah FGV menggantung Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Laporan berhubung siasatan dakwaan pelanggaran prosedur dalam FGV menunjukkan ada fakta dan alasan munasabah untuk memulakan prosiding disiplin terhadap 4 pegawai kanan syarikat itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri kelmarin, kerajaan dan FGV berkata, syarikat itu perlu meneruskan prosiding disiplin yang sedang dijalankan dan eksekutif terbabit boleh membela diri “sejajar undang-undang keadilan asasi” serta tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.

Isa Samad letak jawatan pengerusi FGV, kini ke SPAD


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments