Lego kecam permainan haram IS dijual di Malaysia
Set permainan ‘Falcon Commandos’ menampilkan militan IS bersenjata dan sebahagian daripada siri permainan gaya Lego yang dijual atas talian melalui peruncit China.
PETALING JAYA: Syarikat pembuat permainan Lego mengecam pembikinan patung kecil bertemakan militan IS bersenjata seperti bom dan gergaji, yang dihasilkan menyerupai patung kecil terkenal yang dihasilkan mereka.
Jurucakap syarikat Denmark itu, Camilla Pedersen dipetik RT.com sebagai berkata permainan itu tidak ada kaitan dengan mereka.
“Produk itu bukan produk Lego – bata dalam set itu juga bukan bata Lego,” katanya.
“Sebagai sebuah syarikat yang berdedikasi untuk memanfaat dan memberi ilham kepada kanak-kanak, kami tidak akan menghasilkan produk seperti itu.”
RT dalam laporannya Rabu lalu memetik seorang guru Mahnun Mat Isa dari Perak, yang dilaporkan berkata beliau menemui permainan buatan China itu bulan lepas dan melaporkan perkara itu kepada polis dan majlis agama Islam negeri.
“Saya dapat tahu mengenainya apabila anak saya yang sedang bermain menunjukkan saya watak ‘pengganas’ yang memegang bendera tertera kalimah ‘Allah’ dan ‘Muhammad’,” katanya dalam laporan itu.
“Saya minta pihak berkuasa tidak membenarkan permainan yang menyentuh sensitiviti agama dibawa masuk ke negara ini,” tambahnya.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu.
RT.com melaporkan set permainan “Falcon Commandos”, yang menampilkan “pegawai perisikan” menentang militan IS, sebahagian daripada siri permainan gaya Lego yang dijual atas talian melalui seorang peruncit China.
IA melaporkan gambar kotak set itu memaparkan patung kecil militan IS melontar batang dinamit dan melancarkan tong minyak berapi, dan seorang militan bersenjatakan gergaji rantai melihat kepala terpenggal.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menurut laman Australian 9News, siri “Falcon Commandos” pernah dilihat dijual peruncit atas talian China yang mengatakan mereka juga boleh menghantar permainan itu ke Australia.